JOHOR BAHRU 31 Jan : Dalam usaha memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan kos sara hidup pada masa kini, kerajaan negeri akan memperbanyakkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pada masa sama, enam lagi lokasi pasar tani di Johor akan ditambah supaya rakyat dapat membeli barangan keperluan dengan harga lebih murah.
“Selain itu, kita juga akan mewujudkan 12 lagi pasar ikan di seluruh negeri ini dan lokasinya kini sedang dikenal pasti sekali gus pembinaannya kelak dapat dimanfaatkan masyarakat di negeri ini.
“Kerajaan negeri akan sentiasa berusaha membantu meringankan beban rakyat,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 500 kaum Cina sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Wisma Persekutuan Tiong Hua, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Persekutuan Tiong Hua Johor, Lim Ik Kin.
Selain menghadiri sambutan di situ, beliau turut menghadiri majlis rumah terbuka dianjurkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong di Benut, Pontian.
Sementara itu, Mohamed Khaled turut menyeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persekutuan Tiong Hua supaya terus memainkan peranan dalam usaha mengeratkan lagi hubungan sesama masyarakat di negara ini.
Tambahnya, perpaduan yang kukuh dapat membantu dalam usaha membangunkan negeri ini terutama untuk menarik pelaburan asing ke Johor khususnya di kawasan Iskandar Malaysia yang kini sedang pesat berkembang.
“Persekutuan Tiong Hua ini juga boleh terus memainkan peranan dengan menjadi jambatan antara kerajaan dan kaum Cina supaya hubungan yang sudah terjalin sekian lama dapat terus dieratkan pada masa akan datang,katanya.