Sambutan Thaipusam. Fahami budaya, agama kaum lain.

JOHOR BAHRU 17 Jan: Masyarakat berbilang kaum di negara ini perlu memahami pelbagai budaya dan agama di negara ini bagi mengeratkan hubungan dan sikap toleransi yang sedia terjalin.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia amat memerlukan rakyat yang mempunyai pengetahuan dan kefahaman tentang latar belakang kaum lain.

“Sebagai warganegara yang hidup dalam negara majmuk, adalah penting bagi setiap daripada kita untuk belajar dan memahami perbezaan latar belakang, budaya dan amalan agama mereka yang berbeza dengan kita.

“Dengan pengetahuan tersebut akan timbul persefahaman dan sikap toleransi dalam memastikan apa yang dilakukan seharian tidak menimbulkan perbalahan sesama kita,” katanya semasa mengunjungi Kuil Sri Subramaniar sempena sambutan Thaipusam di sini hari ini.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada kuil tersebut.

Menteri Besar berkata, masyarakat di negara ini bernasib baik kerana mempunyai kerajaan yang membenarkan setiap individu mengekalkan identiti masing-masing selain mengamalkan ajaran agama dan budaya tanpa sebarang halangan.

“Menerusi keamanan dan keharmonian yang kita kecapi ini, setiap individu bebas mengamalkan ajaran agama mereka selain turut berusaha untuk meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.

“Semua ini mustahil dapat dicapai sekiranya negara berada dalam keadaan kucar-kacir. Jadi, semua pihak perlu memastikan suasana aman ini terus berkekalan,” katanya.

Dalam pada itu YAB turut melahirkan kekesalannya tentang isu seorang guru Cina mualaf yang diminta dibuka tudungnya oleh Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Ya, Kota Tinggi yang berlaku baru-baru ini.

“Perkara ini wajar diberi perhatian serius oleh pihak berwajib dalam memastikan perkara serupa tidak berulang pada masa depan,” katanya.

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top