KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahkan memanggil seorang pemimpin parti pembangkang untuk membantu siasatan berhubung penyebaran kandungan emel mendakwa rancangan letupan di beberapa kawasan strategik sempena sambutan Tahun Baru.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah, berkata polis memandang serius penyebaran e-mel yang dikatakan dihantar kepada pemimpin pembangkang itu oleh individu tertentu.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya menghormati keamanan dan ketenteraman negara ketika menyambut ambang tahun baru,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook PDRM, sebentar tadi.
Hadi Ho berkata, sehingga kini sejumlah 1,151 laporan polis diterima di seluruh negara terhadap bantahan penganjuran perhimpunan yang memudaratkan ketenteraman awam yang disebarkan menerusi media sosial itu.
Semalam, polis memberi amaran keras terhadap individu atau kumpulan yang mengadakan perhimpunan haram ‘menggulingkan kerajaan’ di Dataran Merdeka di sini. Selasa ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata pihak polis tidak teragak-agak menahan pihak yang cuba mencetuskan huru-hara mengikut Akta Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)(SOSMA) 2012.
Beliau berkata, hasil risikan mendapati beberapa kumpulan dan badan bukan kerajaan akan terlibat dalam perhimpunan itu bagi menunjukkan rasa tidak berpuas hati mereka ke atas kerajaan dan seterusnya mahu menimbulkan kekacauan.
“Kumpulan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN), Jingga 13, Solidariti Anak Muda Malaysia serta Solidariti Mahasiswa Malaysia dipercayai akan terlibat dalam perhimpunan itu,” katanya. (the star)