Najib mahu pemimpin amal perbincangan berdasar logik
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, sudah tiba masanya semua pihak khususnya mereka yang berstatus pemimpin mengamalkan politik lebih matang demi masa depan negara yang lebih cemerlang.
Perdana Menteri berkata, daripada terlalu kerap terperangkap dengan kata-kata retorik yang terburu-buru dan kesat, mereka sepatutnya beralih kepada perbincangan berdasarkan logik.
“Untuk berdepan cabaran serta perubahan, negara amat memerlukan kekuatan dan semangat nenek moyang kita yang mendorong mereka ke arah mendapatkan kemerdekaan.
“Semangat seperti yang ditunjukkan merekalah yang kita perlukan bagi masa depan lebih baik bagi generasi seterusnya. Cara mereka mencapainya adalah dengan bekerjasama dalam nada serentak,” katanya dalam blog 1Malaysia bertajuk Renungan Pada Hari Merdeka di sini, semalam.
Najib juga berkata, satu ciri membezakan Malaysia dan yang membuat ia berbeza ialah kepelbagaian masyarakat di negara ini.
“Kepelbagaian ini mengukuhkan negara kita. Ini diperlihatkan dalam cara kita membangun dan dalam persaingan ekonomi kita,” katanya dalam jawapannya kepada soalan bagaimana beliau menilai Malaysia dari segi hubungan kaum, pembangunan, persaingan ekonomi dan kematangan berpolitik selepas 52 tahun merdeka.
Kepada soalan lain, Najib berkata, sejak awal negara sentiasa menekankan kepada kerjasama membina masa depan yang lebih cemerlang serta dikongsi bersama.
“Kita juga tahu ada yang akan menggunakan perbezaan untuk memecahbelahkan kita. Bila kita berada dalam keadaan terbaik, kita menentang mereka yang cuba memporak-perandakan kita.