Berikut ialah teks ucapan dasar Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang pada 25 Julai 2026 di Four Points by Sheraton Johor Bahru. Teks ini disunting untuk bacaan dan beberapa bahagian dipendekkan.
INTI UCAPAN
- Kemenangan Barisan Nasional di Johor, daripada 40 kepada 48 kerusi, menunjukkan UMNO kembali menambat hati pengundi. DUN Permas mencatat majoriti tertinggi negeri, 29,505 undi.
- Asas kemenangan ialah jentera: disiplin, integriti dan kerja keras cawangan serta petugas rumah 10.
- PDM tidak dibubarkan. Persiapan PRU bermula sekarang dengan matlamat menawan semula Parlimen Pasir Gudang.
- Pengundi muda blok terbesar dan tidak berparti. Pemuda dan Puteri diminta menguasai platform digital dan mendekati anak muda.
- Rumah Bangsa menjadikan UMNO pusat graviti politik Melayu, dan dasar kerajaan mesti sampai ke akar umbi.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Yang Berhormat sahabat saya Tuan Haji Baharudin bin Mohamed Taib, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Permas; Naib Ketua, Pengerusi Tetap, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri UMNO Bahagian; ahli-ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian; ketua-ketua cawangan; para perwakilan, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.
Pertamanya, saya melahirkan rasa penuh kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana pada pagi yang berbahagia ini kita semua dapat bersama-sama berhimpun untuk menjayakan kewajipan dan tanggungjawab kita dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang bagi tahun 2026.
Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua yang dapat hadir, terlebih-lebih lagi kepada semua cawangan, Wanita Bahagian, sayap Pemuda dan juga Puteri yang telah dapat menjayakan mesyuarat di peringkat masing-masing. Sesungguhnya kejayaan mengadakan mesyuarat di peringkat masing-masing pada tahun ini, yang berjalan dengan baik dan lancar, menunjukkan tahap kesetiaan dan sayangnya tuan-tuan dan puan-puan kepada parti keramat kita, parti UMNO.
Suasana yang berbeza
Tuan-tuan dan puan-puan, hari ini kita berhimpun dalam keadaan dan suasana yang sangat-sangat berbeza jika dibandingkan dengan persidangan-persidangan yang lepas. Pada kali ini kita berhimpun sebaik sahaja kita melalui pilihan raya negeri, dan dalam pilihan raya negeri yang lepas Barisan Nasional telah mendapat kemenangan dan kejayaan yang sangat besar.
Saya percaya dalam kita berhimpun pada hari ini, kita mempunyai perasaan yang sangat-sangat gembira, sangat-sangat lega, sangat-sangat bangga dan sangat-sangat puas hati akan pencapaian kita bersama. Atas sebab itulah apabila bahagian menetapkan supaya perhimpunan pada kali ini semua kita pakai baju warna Barisan Nasional, tidak ada masalah yang dihadapi.
Kalau kita lihat kepada semua angka dan petunjuk, ianya memaparkan dengan jelas bahawa UMNO telah kembali menambat hati pengundi Melayu dan semua lapisan dan juga generasi.
Maka dengan kemenangan itu, bagi pihak UMNO Bahagian dan keseluruhan ahli-ahli UMNO dalam Bahagian Pasir Gudang, saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi tahniah, pertamanya kepada Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Johor, yang telah dapat membawa kejayaan dan kemenangan kepada parti kita dalam pilihan raya negeri yang lepas. Keputusan itu menunjukkan prestasi parti kita yang cemerlang, dan memberi mandat yang lebih kukuh daripada masa-masa yang dahulu. Daripada 40 kerusi, UMNO Barisan Nasional telah berjaya menawan 48 kerusi di seluruh negeri Johor.
Tak lupa juga, kita ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada calon-calon kita, ADUN Permas dan ADUN Johor Jaya, yang telah dapat membawa kemenangan untuk parti kita di kedua-dua kawasan itu.
Kita masuk menyertai pilihan raya dalam persekitaran politik yang sentiasa dinamik dan kompetitif. Banyak parti, Melayu khususnya, yang bersaing dengan kita. Tetapi kita telah tunjukkan, di Johor, lebih-lebih lagi di Pasir Gudang ini, kita tak putus asa, kita tidak hilang keyakinan, sehingga membolehkan kita menang dalam keadaan yang bergaya.
Maka untuk itu, sebagai Ketua UMNO Bahagian, saya ingin mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua jentera parti, tuan-tuan dan puan-puan semua yang telah bekerja keras, kepada parti-parti komponen dan kepada negeri angkat kita, yang telah sama-sama membawa kembali sokongan dan keyakinan pengundi untuk membolehkan kita menang.
Kita sedar kemenangan itu antara lain kerana pengundi-pengundi di Johor ini masih mengutamakan kestabilan politik, masih berkehendakkan kemajuan ekonomi dan ingin memastikan kesinambungan agenda pembangunan negeri.
Kemenangan di Permas dan Johor Jaya
Tuan-tuan dan puan-puan, banyak faktor yang telah menyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional dengan majoriti yang besar. Seperti kita sedia maklum, bagi DUN Permas, Yang Berhormat Tuan Haji Baharudin mendapat majoriti yang tertinggi di seluruh negeri Johor, iaitu sebanyak 29,505 undi.
Yang pentingnya, undi popular Barisan Nasional di kawasan Permas adalah sebanyak 64.7%. Jika kita bandingkan dengan pilihan raya umum, Barisan Nasional hanya mendapat undi popular 26.1%; maknanya tiga kali ganda. Dan pada pilihan raya negeri ketika Yang Berhormat Tuan Haji Baharudin pertama kali menampilkan diri, walaupun kita menang, undi popular kita hanya 41.9%. Ini bermakna lebih daripada separuh masyarakat di Pasir Gudang ini memberi sokongan kepada parti kita, UMNO dan Barisan Nasional.
Bagi DUN Johor Jaya, setelah beberapa kali pilihan raya peringkat negeri, sekali lagi kita berjaya menawan dan merampas DUN Johor Jaya. Kita ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Chan San San. Kemenangannya menunjukkan UMNO tidak kira mana-mana kaum; UMNO buktikan UMNO boleh deliver undi untuk kemenangan calon MCA, dengan majoriti 7,461. Undi popular Barisan Nasional di DUN Johor Jaya adalah sebanyak 53.9%, berbanding 23.5% pada PRU15 dan hanya 37.7% pada pilihan raya negeri tahun 2022. Maknanya di Johor Jaya juga, lebih daripada separuh pengundi memberi sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional.
Asas kemenangan: jentera
Kalau kita lihat di peringkat Perikatan Nasional itu sendiri, berlaku pelbagai kekeliruan kerana semasa Pilihan Raya Negeri Johor yang lepas, PAS mengarahkan penyokong-penyokongnya untuk menyokong Barisan Nasional walaupun parti PN pada ketika itu ada yang bertanding berlawan dengan Barisan Nasional, seperti di Permas, di Maharani, di Bukit Kepong dan juga di Endau.
Yang penting, mengapa kita menang? Asas kemenangan kita tidak lain tidak bukan kerana kekuatan jentera Barisan Nasional. Kepada semua, daripada bawah ke atas, saya ingin ucapkan berbanyak terima kasih atas disiplin yang kuat, atas integriti yang ditunjukkan dan atas kerja keras. Integriti bermaksud walaupun Ketua Bahagian tak ada di depan, tuan-tuan semua jalankan tanggungjawab dan amanah dengan baik. Kepada rangkaian cawangan yang aktif dan petugas rumah 10 (PR10), setinggi-tinggi tahniah kerana dapat meningkatkan keberkesanan gerak kerja kempen dan mobilisasi pengundi pada hari pengundian.
Ketua PDM dan persediaan PRU
Kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan pilihan raya umum. Jika kita mahu keputusan yang sama supaya kita boleh rampas kembali Parlimen Pasir Gudang, kita perlu kenal pasti cabaran-cabaran yang kita hadapi semasa hari mengundi dan peranan-peranan yang perlu terus dimantapkan, iaitu peranan dan tanggungjawab ketua-ketua PDM.
Ketua-ketua PDM perlu tahu semua gerak kerja yang dilaksanakan oleh pelbagai portfolio di bawah tanggungjawabnya, kerana pada hari mengundi Ketua Bahagian hanya cari ketua PDM, dia tak cari orang lain. Jadi ketua PDM mesti tahu setiap tugas yang perlu dilaksanakan.
Tidak dinafikan semua PDM telah bekerja kuat. Daripada angka-angka yang ada, kita percaya banyak yang boleh kita perbaiki untuk kita pastikan Johor Jaya boleh menyumbang undi yang banyak kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya umum yang akan datang.
Saya percaya kita dalam UMNO sangat-sangat bersyukur dengan kejayaan ini, dan saya berharap kejayaan ini kita pelihara. Sokongan yang kita dapat ini kita jaga, kita pelihara, dan kita perkukuhkan menjelang pilihan raya umum yang akan datang.
Pilihan raya umum boleh diadakan pada bila-bila masa sehingga sebelum akhir tahun depan. Perkembangan politik hari ini sangat dinamik. Kita tengok pilihan raya Negeri Sembilan, kita akan lihat pilihan raya negeri Melaka; semua itu akan menjadi petanda bila pilihan raya umum akan diadakan. Oleh kerana keadaan yang tak dapat kita jangkakan, dan kita tahu pilihan raya umum mesti diadakan dalam masa setahun, maka kita tidak akan bubarkan PDM-PDM kita. Kita hanya akan lakukan penambahbaikan. Kita bersedia dari sekarang untuk pastikan matlamat kita: kita menang dalam pilihan raya umum dan kita tawan semula Parlimen Pasir Gudang.
Menang dengan rendah diri
Atas sebab itulah, apabila kita menang, kita perlu sambut kemenangan ini dengan rasa rendah diri dan dengan iltizam bahawa kita tidak akan mensia-siakan kepercayaan yang rakyat telah letakkan kepada parti kita. Ini hanya boleh diterjemahkan jika calon kita yang menang itu mula bekerja keras dan ambil tanggungjawab melaksanakan kewajipan dengan baik dan berkesan.
Kita perlu sambut kemenangan ini dengan rasa rendah diri dan dengan iltizam bahawa kita tidak akan mensia-siakan kepercayaan yang rakyat telah letakkan kepada parti kita.
Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin
Ambil tanggungjawab dengan penuh amanah. Kita perlu berkhidmat tanpa lelah dan elak melakukan kesalahan dan kesilapan lampau. Kita sedar rakyat mempunyai harapan yang sangat-sangat tinggi. Yang penting, kita kena pastikan parti kita ini benar-benar berprestasi, terutamanya wakil-wakil rakyat kita, tetapi bukan sahaja wakil rakyat.
Kemenangan yang telah kita capai memberi kita kesungguhan, keazaman dan kesabaran untuk menghasilkan kejayaan yang lebih besar dan lebih bermakna. Saya berharap kemenangan kita itu akan menjadi pembakar semangat untuk kita terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih besar di masa yang akan datang.
Komunikasi, media sosial dan pengundi muda
Tuan-tuan dan puan-puan, salah satu perkara yang juga telah menyumbang kepada kejayaan kita ialah keberkesanan kita menggunakan komunikasi dalam politik, dan kejayaan kita menguruskan persepsi yang bertubi-tubi dihalakan terhadap parti kita dan calon-calon kita. Salah satu faktor kemenangan kita ialah penggunaan media sosial yang telah mula kita amalkan dalam kempen semasa pilihan raya negeri yang lepas. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas peranan dan sumbangan dalam komunikasi media sosial dan pengurusan persepsi ini; jenteranya banyak terdiri daripada orang-orang muda dalam parti kita.
Kita tak boleh nafikan bahawa pengundi muda merupakan blok pengundi terbesar dan penentu utama dalam setiap PDM dan DUN dalam kawasan kita dan di negeri Johor. Di Johor Jaya terdapat 41,824 pengundi muda dengan 61 saluran. Orang muda yang keluar mengundi 24,766, dan yang beri sokongan kepada Barisan Nasional 61%, iaitu 16,523.
Bagi DUN Permas, pengundi muda 57,935 orang daripada 113,000 pengundi berdaftar; maknanya lebih sedikit daripada separuh. Orang muda yang keluar mengundi 37,986, dan 70% anak muda beri sokongan kepada parti kita. Saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih atas sokongan orang muda, dan saya harap kita akan jaga dan pastikan sokongan ini terus kekal.
Kita wajar faham bahawa golongan anak-anak muda ini mempunyai corak tingkah laku politik yang berbeza berbanding kita, generasi terdahulu. Kesetiaan kita kepada parti berdasarkan sejarah dan tradisi. Kita menerima maklumat melalui saluran media konvensional. Dalam urusan harian, kita dipengaruhi oleh pandangan keluarga dan komuniti tempatan: ibu bapa, ketua kampung, ketua cawangan. Kita mengutamakan isu-isu identiti, bangsa dan agama.
Tetapi golongan muda hari ini sebahagian besarnya tidak berparti. Hari ini mereka sokong kita, tetapi pilihan raya umum belum tahu, sebab mereka tidak berparti. Mereka pengundi atas pagar, tetapi pengundi yang pragmatik. Maklumat dan pendirian mereka dibentuk daripada media sosial, sama ada Threads, TikTok, Instagram dan sebagainya. Mereka membentuk pandangan secara bebas melalui ruang digital, dan fokus mereka adalah soal kos sara hidup, soal pekerjaan, soal integriti dan amanah. Atas itulah kita lihat parti sebelah sana sentiasa mainkan isu-isu ini.
Kita berharap Pemuda dan Puteri akan terus mainkan peranan, bukan sahaja dengan menarik mereka tetapi mewujudkan hubungan terus, dan pastikan ada penyertaan dan penglibatan mereka dalam segala yang kita lakukan melalui parti. Kita boleh berkomunikasi dengan mereka mungkin bukan dengan lisan, tetapi melalui penganjuran yang dekat dengan jiwa mereka, sama ada forum intelektual, wacana ilmu dan sebagainya. Kita perlu menguasai platform digital untuk sampai kepada mereka secara telus, secara santai dan secara interaktif. Pendek kata, kita perlu lakukan adaptasi dengan realiti politik yang baru.
Kita perlu menguasai platform digital untuk sampai kepada mereka secara telus, secara santai dan secara interaktif.
Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin
Rumah Bangsa dan anak muda Pasir Gudang
Untuk makluman semua, apabila UMNO memperkenalkan Rumah Bangsa, kita membuka pintu Rumah Bangsa kepada dua golongan. Pertama, mereka yang telah diambil tindakan, yang kita jemput kembali ke parti. Itu tak ramai, kerana dalam bahagian kita tak ramai yang kena tindakan disiplin, sebab Ketua Bahagian baik, tak pernah buang orang. Pintu yang kedua ialah untuk anak muda yang tidak mahu melalui birokrasi parti, isi borang dan sebagainya; mereka terus memohon secara dalam talian. Melalui pintu kedua Rumah Bangsa ini, seramai 404 orang anak muda telah memohon untuk menyertai parti kita di Pasir Gudang.
Saya juga mengalu-alukan beberapa inisiatif yang telah membawa sokongan anak muda kepada parti kita. Antaranya, kita mewujudkan skuad Yayasan Pelajaran MARA (YPM) yang mendapat sokongan daripada 100 orang anak muda. Pada masa yang sama, kita telah wujudkan Persatuan Mahasiswa Pasir Gudang, iaitu anak-anak Pasir Gudang yang sedang belajar di institusi pendidikan tinggi; ada 116 orang yang sama-sama menjayakannya. Semua ini membantu mempengaruhi anak muda supaya memberi sokongan kepada Barisan Nasional. Sebab itulah kita menang dengan majoriti besar: bukan sahaja penyokong tradisional, tetapi yang baru dan muda juga memberi sokongan kepada parti kita.
Kemenangan kita yang bersejarah ini kita harap akan berulang di Negeri Sembilan, di Melaka dan akhirnya di Pilihan Raya Umum, selari dengan matlamat apabila Presiden parti, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menggagaskan penubuhan Rumah Bangsa.
Gagasan Rumah Bangsa ialah cadangan supaya UMNO menjadi institusi kebangsaan orang-orang Melayu. Ia digagaskan kerana orang Melayu berpecah belah dalam pelbagai parti. Dengan Rumah Bangsa, kita mahu UMNO diletakkan sebagai wadah milik semua orang Melayu, sama ada ahli ataupun bukan ahli. Anggap UMNO sebagai sebuah rumah; di dalamnya ada pelbagai perbezaan, tetapi semua sama-sama ingin memainkan peranan membina masa depan orang Melayu. Pendek kata, UMNO sebagai Rumah Bangsa menjadi institusi penyatu yang memayungi kekuatan Melayu merentas latar melalui satu medan politik yang tersusun, menjadikan UMNO paksi kestabilan.
Apabila UMNO berfungsi sebagai pusat graviti, semua undi dipusatkan. Contohnya YB Haji Baharudin: orang Melayu memberi undi kepada beliau walaupun ada parti Melayu lain. Kita berharap apabila PAS dan PN tidak bersaing dengan UMNO di Negeri Sembilan, keadaan yang sama akan berlaku dan keputusan yang cemerlang juga akan kita saksikan di sana. Apabila UMNO menjadi pusat graviti seperti di Johor, sistem politik menjadi lebih stabil bagi orang Melayu. Sebab itulah kita menang 48 kerusi, menjadi lebih stabil, dan penjajaran politik lebih tersusun; macam di Negeri Sembilan, tak lawan sesama sendiri.
Itu bermakna UMNO bukan menjayakan dominasi sempit ke atas orang Melayu, tetapi dominasi yang menyusun. Di Negeri Sembilan, Barisan Nasional bertanding 25 kerusi, UMNO sendiri 16 kerusi. Maknanya kita dominan, tetapi dominan yang menyusun, untuk membawa kestabilan kepada politik orang Melayu yang selama 10 tahun kebelakangan ini berpecah belah dan porak-peranda. Inilah yang ahli-ahli UMNO terjemahkan dalam Pilihan Raya Negeri Johor. Tahniah saya ucapkan kepada semua.
Penutup: dasar mesti sampai ke akar umbi
Tuan-tuan dan puan-puan, akhirnya saya sekali lagi ucapkan banyak terima kasih. Banyak kerja ada di hadapan kita. Seperti saya katakan, PDM tak akan kita bubarkan, kita akan tambah baik. Kita ada setahun untuk bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum. Kalau boleh, kita berikan tumpuan; habis Pilihan Raya Umum, kalau nak cuti, baru boleh cuti.
Kita perlu kekalkan momentum kemenangan. Kita perlu beri tumpuan menyelesaikan isu-isu keperluan rakyat, dan kita perlu terjemahkan manifesto, janji dan iltizam yang dibawa oleh UMNO Barisan Nasional, yang sekarang menjadi kerajaan negeri. Bila dilaksanakan, ia mesti dapat dirasai dan memberi manfaat kepada pengundi dalam kedua-dua DUN dalam Parlimen Pasir Gudang: soal rumah mampu milik, soal kos hidup tinggi, soal pekerjaan dan soal peluang pendidikan.
Kita tahu Johor Bahru, dengan adanya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, akan berkembang dan kemajuan akan berlaku dengan begitu pesat. Bantuan sosial memang ada di peringkat kerajaan negeri, macam-macam bantuan termasuk Kasih Johor; itu tak ada masalah. Tetapi kita perlu beri tumpuan supaya peluang daripada kemajuan itu membawa manfaat yang lebih besar kepada penduduk dalam kawasan kita: peluang pekerjaan yang lebih baik, peluang niaga dan peluang ekonomi. Ini perlu disusun. Apa sahaja dasar kerajaan, jangan ia tinggal sebagai dasar; ia mesti diterjemahkan di lapangan, di peringkat akar umbi, supaya semua yang tinggal di Pasir Gudang benar-benar mendapat manfaat daripada perancangan dan dasar yang baik.
Apa sahaja dasar kerajaan, jangan ia tinggal sebagai dasar; ia mesti diterjemahkan di lapangan, di peringkat akar umbi.
Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin
Jadi tuan-tuan dan puan-puan, saya sekali lagi ucapkan banyak terima kasih. Selamat bersidang. Dengan melafazkan Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang. Sekian, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang
Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang
25 Julai 2026
Tonton rakaman penuh
Rakaman penuh mesyuarat di saluran YouTube Media UMNOPG. Ucapan dasar bermula pada minit 27:30.
Berita berkaitan: Kemenangan besar BN di Johor tunjuk pengundi utamakan kestabilan dan pertumbuhan, kata Khaled
Sumber: rakaman video Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang, 25 Julai 2026 (Media UMNOPG).




