Rakyat Menaruh Harapan Anggota Kabinet, Jangan Ulangi Pendekatan Lama Yang Timbulkan Kekecewaan Rakyat

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata rakyat menaruh harapan tinggi kepada seramai 31 Menteri dan 38 Timbalan Menteri yang diumumkan baru-baru ini.

Kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu hantaran di Facebook, meskipun majoriti anggota Kabinet terdiri daripada barisan kerajaan lama, tetapi mereka kini berkhidmat di bawah kerajaan baharu.

“Maka seharusnya cara bekerja dan berfkir untuk rakyat serta negara dengan cara baharu.

“Mereka perlu buktikan bahawa mereka bukan seperti yang disindir dan dikritik oleh masyarakat.

“Pendekatan lama yang menimbulkan kemarahan, kekecewaan dan keresahan rakyat jangan diulang,” tegas Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Tambah beliau lagi, fokus utama kerajaan kini adalah menurunkan kes jangkitan COVID-19 dan mempercepatkan imuniti kelompok.

“Serta memulihkan ekonomi rakyat dan negara. Tiada lagi sindrom penafian dengan alasan yang ‘annoying’.

“Kerajaan baharu dikatakan kerajaan ‘result oriented’, maka buktikan penghasilan yang terbaik. Insya-Allah,” ujarnya.

Begitu juga katanya tempoh 100 hari menjadi penanda aras di mana kiraannya telah bermula dan jangan sia-siakan harapan rakyat.

Dilaporkan, Isnin lalu seramai 30 Menteri dan 37 Timbalan Menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini.

Mereka diumum menganggotai saf pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Jumaat lepas yang terdiri daripada 31 Menteri termasuk empat Menteri Kanan serta 38 Timbalan Menteri.

Dua daripada mereka tidak dapat hadir untuk mengangkat sumpah jawatan. – UMNO ONLINE

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top