PASIR GUDANG, 17 JULAI – Perbincangan antara pihak Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan wakil penduduk Kampung Sungai Rinting yang diadakan di Menara MPPG semalam telah mencapai kata sepakat berhubung bantahan penduduk terhadap isu rumah berhala dikawasan terbabit.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, YB Puan Hajah Normala binti Abdul Samad, perkara ini akan ditimbang dan diteliti sebaik mungkin oleh pihak MPPG kerana sebelum ini ianya dibawah pentadbiran MBJB.
“Sebarang kerja tidak akan dilakukan sehingga satu kata putus yang terbaik dapat dicapai”
“Kita tidak mahu perkara ini akan menimbulkan isu-isu lain dan disalah tafsir oleh mana-mana pihak”
“Keputusan menang-menang antara pemilik rumah berhala dan penduduk yang dilakukan secara muafakat dapat memberi peluang serta formula terbaik kepada MPPG untuk menyelesaikan masalah itu”
“Dalam negara majmuk terutama di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin yang membawa dasar Muafakat Johor, pastinya perkara ini sangat diambil berat” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat tertutup yang berlangsung selama dua jam.