..."/>

YPG LANCAR PUSAT TUISYEN KOMUNITI KE ENAM

PASIR GUDANG, 15 Julai – Dalam usaha membantu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) melalui Yayasan Pasir Gudang (YPG) hari ini merasmikan Pusat Tuisyen Komuniti yang terletak di Bandar Seri Alam.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata ini merupakan salah satu rancangan jangka panjang yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

“Kerajaan Negeri sentiasa merangka pelbagai cara untuk membantu meringankan beban rakyat, terutamanya mereka yang kurang berkemampuan, dan salah satu aspek yang kita beri perhatian adalah pendidikan.

“Ini merupakan Pusat Tuisyen Komuniti yang ke-6, dan tahun ini kita merancang untuk membuka tiga lagi di Taman Rinting iaitu di Balau, Gelam dan Meranti, melibatkan perbelanjaan sebanyak RM200,000 setahun, yang mana kos ini akan dibiayai oleh MPPG,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Tuisyen Komuniti Bandar Seri Alam dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Bandar Seri Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Hasrin Kamal Hashim.

Pusat Tuisyen Komuniti Bandar Seri Alam ini dijalankan secara percuma kepada 30 pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini dan dibantu oleh tenaga pengajar yang berpengalaman.

Lima Pusat Tuisyen Komuniti yang lain terletak di Taman Cendana, Kampung Pasir Putih, Taman Air Biru, Sungai Tiram Tebrau dan Desa Rakyat Perdana yang melibatkan pelajar darjah enam hingga tingkatan lima. JAUHAR

Top