..."/>

WANITA UMNO SASAR LEBIH RAMAI CALON MENJELANG PRU 14

PASIR GUDANG, 5 Ogos — Pergerakan Wanita UMNO menyasarkan lebih ramai anggotanya dicalonkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ketuanya Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata pencalonan dari sayap itu bagi bertanding dalam PRU dilihat masih kurang ketika ini iaitu hanya kira-kira 10 peratus sahaja.

“Keseluruhannya terdapat 1.3 juta keanggotaan dalam sayap Wanita UMNO, malah, suara kita (Wanita UMNO) amat berkesan sebagai tulang belakang parti.

“Sehubungan itu, kita menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita untuk bertanding pada PRU ke-14,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO bahagian Pasir Gudang di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Wanita UMNO Johor Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dan Ketua Wanita UMNO Pasir Gudang Normala Abd Samad.

Shahrizat berkata bagi memastikan matlamat tersebut tercapai, pihaknya kini menumpukan usaha mempersiapkan wanita bagi membolehkan lebih ramai di kalangan mereka terpilih menjadi calon.

Sementara itu, berucap pada perasmian itu, Shahrizat menggesa para anggota sayap berkenaan supaya memantapkan jentera memandangkan pilihan raya yang semakin hampir.

Beliau turut mengingatkan seluruh anggota tersebut supaya memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pucuk pimpinan dan tidak mudah percaya dengan pelbagai tomahan yang dilemparkan demi kelangsungan UMNO dan Barisan Nasional.

“Wanita UMNO bersikap telus, kita sentiasa sokong presiden parti dan tidak terjebak dengan budaya ‘politiking’.

“Matlamat kita adalah jelas iaitu memberi tumpuan kepada perjuangan parti dan kepentingan rakyat walaupun terdapat pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi,” katanya.

Top