..."/>

VAKSIN PERTAMA TIBA AHAD INI, MUHYIDDIN TERIMA SUNTIKAN 26 FEB

Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech akan tiba di negara ini pada Ahad, sementara pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan mulakan dilancarkan secara berfasa pada 26 Feb.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan.

Ketika melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hari ini, perdana menteri berkata fasa pertama program itu akan melibatkan petugas barisan hadapan sehingga April diikuti fasa kedua bermula April sehingga Ogos melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi.

Fasa ketiga pula akan melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula Mei tahun ini hingga Februari 2022.

Menurut Muhyiddin, program imunisasi menyeluruh ini adalah untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti agar dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 sekali gus diharap dapat menamatkan pandemik Covid-19.

“Ringkasnya, vaksinasi amat penting untuk kita melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga orang tersayang iaitu ahli keluarga, rakan kerja, jiran sekeliling dan seluruh komuniti.

“Inilah juga maksud slogan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang saya perkenalkan secara rasmi hari ini, iaitu Lindung Diri, Lindung Semua,” katanya.

Perdana Menteri berkata apabila semua orang telah dilindungi dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini berjaya dilaksanakan, ia akan memberikan impak positif termasuk membolehkan sektor ekonomi dan pelancongan kembali dibuka.

Katanya begitu juga dengan aktiviti ziarah-menziarahi, aktiviti bersukan kembali boleh dilakukan, namun masih terikat dengan amalan norma baharu.

“Inilah yang saya maksudkan apabila saya katakan bahawa vaksin Covid-19 adalah antara sinar harapan kita yang paling utama untuk kita menang dalam perang melawan Covid-19.

“Pastinya, satu lembaran baru bakal terbuka dengan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada penghujung bulan ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua rakyat supaya jangan berlengah untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin dan hadir pada waktu yang telah ditetapkan untuk menerima dos pertama dan dos kedua.

Sementara itu, Muhyddin berkata Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilancarkan hari ini adalah untuk menerangkan dengan lebih lanjut berhubung dasar program imunisasi.

“Ini merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam kita menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, iaitu program vaksinasi terbesar yang akan dilaksanakan di negara kita.

Buku panduan itu boleh dimuat turun menerusi laman web www.VaksinCovid.gov.my yang turut dilancarkan hari ini.

– Bernama

Top