..."/>

UMNO tidak letak calon PRK Chempaka

KUALA LUMPUR 25 Feb.- Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat malam ini mengambil keputusan untuk tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di Kelantan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perpaduan ummah menjadi antara alasan utama UMNO tidak meletakkan calon pada PRK DUN Chempaka yang dijadual berlangsung pada 23 Mac ini.

“Kita juga memikirkan bahawa kita perlu melihat kepada usaha-usaha untuk membawa kepada perpaduan ummah.

“Walaupun kita ada perbezaan pendapat, politik dan sebagainya tetapi kita perlu utamakan perpaduan ummah,” jelas Najib dalam sidang akhbar selepas mempengarusikan Mesyuarat MT UMNO di Menara Datuk Onn di sini hari ini.

Selain itu, Najib berkata, keputusan tidak bertanding diambil kerana BN mahu memberi tumpua usaha-usahan pemulihan banjir dan kerja-kerja kebajikan.

Jelas Najib, kerja-kerja pemulihan berkenaan telah juga diletakkan sebagai keutamaan yang tinggi kerana banyak pihak yang belum lagi menerima bantuan banjir.

“Sebelum kita membuat keputusan ini, kita telah mendengar pandangan Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang telah berbincangan dengan UMNO Bahagian Pengakalan Chepa.

“Proses perbincangan menyeluruh telah dilakukan sebelum MT membuat keputusan,” jelas Najib.

PRK DUN Chempaka diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada 5 Februari.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat pada 18 Februari lalu memutuskan bahawa Hari Penamaan Calon PRK DUN Chempaka ialah pada 10 Mac dan jika ada pertandingan pilihan raya akan diadakan pada 23 Mac.

Sementara itu, mengenai pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, Najib berkata, BN akan membuat keputusan selepas SPR menerima nasihat berhubung tafsiran Perlembagaan.

“Kita belum tahu bila tarikh pilihan raya kecil tersebut kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim telah buat rayuan pengampunan.

“SPR akan menerima nasihat berhubung tafsiran Perlembagaan tersebut dan akan menentukan tarikh.

“Bila SPR tentukan tarikh, MT UMNO akan buat keputusan yang akan kita umumkan bila sampai masa kelak,” jelas Najib.

Sumber : Utusan 

Top