..."/>

UMNO JOHOR FOKUS 3 TERAS IMBANGI PEMBANGUNAN

PASIR GUDANG: UMNO Johor meletakkan fokus kepada tiga teras utama dalam usaha mengimbangi pembangunan di negeri ini, seterusnya memastikan rakyat memahami hasrat dan menerima kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata UMNO Johor tidak mahu menoleh ke belakang, sebaliknya mahu terus menjayakan usaha serta matlamat membawa negeri itu ke arah Gagasan Johor Berkemajuan.

Katanya, teras pertama adalah dalam aspek pertumbuhan ekonomi yang menjadi keutamaan bagi sesebuah negeri membangun, selain memastikan ia dapat dirasai dan dimanfaatkan seluruh rakyat.

“Kedua adalah kesejahteraan sosial rakyat dan dalam soal ini, kita (kerajaan negeri) inklusif dengan memastikan agihan yang disalurkan kepada rakyat tepat, semua yang miskin dibantu menerusi pelbagai skim dan bantuan pendidikan.

“Ketiga adalah kekuatan peribadi kerana tidak memberi makna apa-apa jika orang (rakyat Johor) tiada nilai, tidak beretika, hilang jati diri dan budaya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Pra Perkahwinan anjuran Pergerakan Puteri UMNO Pasir Gudang di sini, hari ini. Mohamed Khaled berkata, tiga perkara itu akan diberi keutamaan dan fokus UMNO Johor bagi melakukan perimbangan dalam pembangunan di negeri ini.

“Parti lain (pembangkang) itu hanya saja-saja masuk (bertanding di Johor) dan nakkan kerusi sahaja, tetapi kita (UMNO) nilai yang kita bawa untuk kejayaan adalah muafakat. “Saya yakin nilai Bangsa Johor yang dibantu dengan ‘Team’ Johor serta konsep Muafakat Johor membolehkan rakyat faham dan sama-sama menjayakan hasrat ini,” katanya.

Sumber : bharian

Top