..."/>

UCAPAN YAB DATO MOHAMED KHALED BIN NORDIN MENTERI BESAR JOHOR MAJLIS PENUTUP SEMINAR KOMEMORATIF UMNO 70 TAHUN

14 SEPTEMBER 2016
PERSADA JOHOR INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE

Tuan-tuan dan Puan-puan

1. Saya mengambil kesempatan mengalu-alukan kehadiran semua penceramah dan peserta pada hari ini.

2. Dan kepada rakan-rakan serta para penceramah dari Indonesia dan Singapura, selamat datang ke Malaysia, selamat datang ke Johor Darul Takzim.

3. Terlebih dahulu saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Bait Al Amanah dan Badan Perhubungan UMNO Johor atas inisiatif penganjuran Seminar Komemoratif UMNO 70 tahun ini.

4. Bagi saya, ia langkah yang paling wajar dan kena pada masanya. Masa untuk kita melakukan refleksi dan melihat sedalam-dalamnya, dengan nurani yang ikhlas.

5. Apakah benar-benar UMNO ini telah mendatangkan kebaikan kepada bangsa dan agama. Apakah benar-benar kita telah membuahkan manfaat pada tanahair.

6. Kerana, sepanjang 7 dekad perjalanan UMNO, ia sarat sekali dengan cerita yang harus kita pelajari dan teladani.

7. Cerita-cerita yang mewajarkan kita untuk mengambil masa merenung, memikir dan mencari jalan ke hadapan untuk UMNO.

8. Kerana, jika kita lihat di seluruh dunia, begitu banyak parti yang seusia UMNO, sudah semakin lemah dan tidak boleh bertahan.

9. Lihat sahaja Golkar di Indonesia. Lihat sahaja Parti Kongress di India. Bukan sahaja mereka tidak lagi memerintah. Tetapi mereka juga berhadapan dengan cabaran untuk berkelangsungan.

10. Lalu, merencana bagaimana meneruskan kelangsungan dan keutuhan UMNO ini sangat penting. Untuk 70 tahun lagi. Malah, mungkin untuk seabad lagi.

11. Benar, masa depan itu rahsia Tuhan dan masa adalah saksi segala-galanya.Namun, untuk sekadar duduk, berdoa dan beretorik bahawa parti ini akan terus kekal kuat, utuh dan diyakini, adalah anti akal.

12. Kerana parti ini hanya akan kekal jika kita punya strategi. Punya agenda bersifat sezaman. Punya pemikiran melangkau masa.

13. Percayalah, samada kita mahu menerimanya atau tidak, di luar sana, UMNO dilihat semakin senja menua. Kita tidak lagi dilihat secocok dengan zaman.

14. Pada pandangan banyak pihak, kita terpisah jauh dengan imaginasi anak muda. Terperangkap dengan kegemilangan lalu yang terhasil dalam konteks dan cabaran yang jauh berbeza dengan realiti hari ini.

15. Kita dilihat sebagai parti kebangsaan yang sudah hilang pesonanya.

16. Malah seperti yang saya ungkapkan dalam siri ucapan saya beberapa minggu lepas, UMNO telah hilang nilai sentimental atau ‘sentimental connection’nya dengan generasi muda Melayu.

Tuan-tuan dan Puan-puan;

17. Atas kesedaran itulah, di Johor, kita memilih untuk meraikan ulangtahun ke-70 tahun UMNO dengan cara yang berbeza. Dengan menganjurkan majlis ilmu. Agar kita semua dapat duduk dan berfikir tentang masa depan dan bagaimanaUMNO boleh menjadi lebih baik.

18. Saya juga mengambil kesempatan pada hari sempena memperingati 70 tahun penubuhan UMNO, untuk menganjur satu jalan baru bagi UMNO. Khususnya UMNO Johor.

19. Jalan yang mendukung pemikiran dan citra yang baharu. Yang serasi dan sesuaizaman. Satu gagasan yang saya namakan sebagai, Agenda Melayu Maju.

20. Dan saya mempunyai sebab kenapa Melayu Maju ini mesti menjadi agenda dan naratif baharu UMNO, setelah tujuh dekad kewujudannya.

21. Pertama, kerana telah tiba masanya agenda Melayu itu disemak. Memastikan sekadar hak, kepentingan dan kelangsungan bangsa Melayu itu terjaminsangat tidak memadai. Kita memerlukan naratif baru bagaimana menjadi bangsa yang lebih maju, progresif dan berkebolehsaingan.

22. Kedua untuk mengembalikan semula hubungan dan rasa dekat orang Melayu kepada UMNO. Bahawa UMNO itu wujud untuk memajukan bangsa Melayu. Menjadikan mereka berdaya saing.

23. Ketiga, kerana UMNO bukan sekadar pergerakan politik. Sebaliknya, UMNO, semenjak penubuhannya, adalah gerakan pembaharuan untuk bangsa. Dan ia mesti terus diperkukuhkan menjadi gerakanpembaharuan, usaha dan amal demi kemajuan orang Melayu.

24. Hanya melalui usaha, kemajuan akan tercapai. Hanya melalui kemajuan, Melayu menjadi kuat.

25. Keempat, untuk memastikan UMNO terus kekal memimpin Malaysia. Kerana tanpa agenda yang progresif, UMNO pasti akan kehilangan keunggulannya.

26. Yakinlah, betapa agenda Hidup Melayu yang kita jeritkan selama ini, memerlukan suatu rekayasa. Suatu penjenamaan semula. Kerana Melayu yang hidup, yang punya hak, tetapi tanpa kemajuan, adalah Melayu yang serupa tidak mempunyai apa-apa.

Tuan-tuan dan Puan-puan;

27. Persoalannya, bagaimanakah, setelah 70 tahun, boleh kita cipta dan hidupkan citra dan keunggulan baharu untuk UMNO ini?

28. Maka, di medan dan arena ini, saya pasti kalian punya saranan. Dan saya juga punya saranan.

29. Saranan saya begini.

30. Pertama, UMNO memerlukan apa yang saya panggil ‘moral awakening’ atausuatu kebangkitan moral.

31. Iaitu kebangkitan dan kesedaran dalam nurani kita, betapa UMNO ini amanah besar.

32. Amanah besar yang sarat dengan pasak kebaikan dan aspirasi yang menjangkaui kewujudannya sebagai sebuah parti politik. Sebagai sebuah wadah kuasa.

33. Itu semua sekadar bentuk dan susun atur hairarki.

34. Sebaliknya, UMNO ini wujud sebagai satu rukun daya dan gerakan yang membuka percambahan kebaikan dan pencerahan kepada bangsa dan tanahair.

35. Dengan pelbagai cara. Dalam segala perkara. Melewati faktor struktur, melebihi takat kuasa, melepasi kerisauan tentang bentuk dan cara.

36. Dan perkara inilah yang selama ini membezakan kita dengan segala parti dan mana-mana organisasi atau struktur yang lain. Semua dlm umno perlu sedar bahawa mereka bukan menerajui dan berada semata2 dalam sebuah parti politik Melayu, tetapi mereka menerajui dan mendukung amanah Melayu.

37. Malah, kita harus sedar, UMNO ini adalah satu-satunya wadah yang menghubungkan kita dengan permulaan dan kemerdekaan tanahair kita. Ia menghubungkan kita dengan para pendiri bangsa.

38. Ia adalah satu-satunya gerakan kebangsaan yang sangat berjaya. Ia memberikan kita identiti. Memberikan kita rasa kepunyaan. Ia adalah nurani bangsa Melayu.

39. Kerana itu di Johor ini, kita pernah sebut, UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO.

40. Pendek kata, sangat janggal jika kita anggap UMNO ini sekadar sebuah parti politikMelayu. Ia lebih besar dari sebuah pergerakan politik. Ia gerakan pencerahan. Ia gerakan amal dan usaha. Ia gerakan islah.

41. Jadi, kita mesti mengambil tanggungjawab terhadap UMNO ini. Bukan mempergunakannya. Bukan mengharapkan segala habuan dan imbuhan material darinya. Bukan memperjudikannya demi kepentingan sendiri.

42. Sebab itulah UMNO Johor hari ini, mengambil jalan islah. Jalan bermoral. Untuk mengembalikan UMNO ke landasan penubuhannya, dan berusaha menjadikanUMNO satu gerakan kebaikan kepada bangsa Melayu dan Islam.

43. Kedua, UMNO mesti mengarusperdanakan Islam jika ingin berkelangsungan. Ia mesti diperkemaskan dengan identiti dan citra yang lebih Islami.

44. Perkara ini saya usulkan hanya kerana satu sebab. Sekalipun saya sedar bahawa di Johor ini, Melayu adalah UMNO, dan UMNO adalah Melayu. Namun, saya tidak boleh membayangkan, Melayu tanpa Islam.

45. Melayu tanpa UMNO, itu sudah biasa. Tetapi Melayu tanpa Islam, itu kejanggalan di luar kelaziman.

46. Barangkali kerana, selain ketauhidan akidah dan kesyumulan sistem hidup yang kita pegang dan yakini, Islamlah faktor paling kuat dalam mencetus dan menggerakkan kebangkitan nasionalisme orang Melayu.

47. Janganlah kita lupa, dari rahim Islamlah gerakan nasionalis bangsa lahir. Inspirasi kelahiran UMNO dan pergerakan kebangsaan itu, semuanya datang dari Islam.

48. Ramai sekali pendiri bangsa yang terdiri dari ulama, guru agama, lulusan agama dan mereka yang mengajar dan berpendidikan agama.

49. Yang lahir dari institusi pendidikan Islam seperti pondok, madrasah, dan sekolah agama. Yang bangun menggerakkan gerakan kebangsaan dan kemerdekaan.

50. Kerana waktu itu, satu-satunya institusi yang gagal ditembusi dan dikuasai penjajah kolonial ialah sekolah dan institusi agama kita.

51. Dan, jika Islam itu terbukti sebagai faktor penting dalam kebangkitan kebangsaan Melayu, maka Islam juga harus terus penting dalam kelangsungan UMNO.

52. Pada saya, Islam adalah gelombang ketiga dalam perjuangan UMNO.

53. Setelah selesai gelombang pertama iaitu perjuangan kemerdekaan. Dan gelombang kedua, membangunkan tanah air.

54. Kini, sebagai gelombang ketiga, UMNO mesti memfokuskan kepada pengukuhan Islam di Malaysia sebagai agendanya.

55. Kenapa saya mengatakan Islam adalah gelombang ketiga yang akan memastikan kelangsungan UMNO?

56. Kerana bagi saya Islam, kemelayuan dan modenisasi telah lama berakar dalam peribadi, pemikiran dan perwatakan bangsa Melayu

57. Islam di satu sisi. Kemodenan di sisi yang lain. Dan Kemelayuan pula berada padasatu sisi yang lain.

58. Lalu ia membentuk segitiga yang saling melengkapi dan menghidupi. Yang menjadi lingkaran identiti serta citra yang unggul untuk orang Melayu.

59. Telah lama wujud titik temu antara Islam, kemodernan, dan keMelayuan ini. Dan titik temu itulah yang sebenarnya mesti kita serlahkan dan angkat dengan lebih serius dalam UMNO.

60. Bukan hanya untuk mengembalikan semula keyakinan orang Melayu kepada perjuangan UMNO. Tetapi kerana inilah UMNO yang sebenar!

61. Yang dipimpin oleh sistem nilai yang berpasakkan Islam. Yang digerakkan oleh pemikiran, budaya kerja dan prinsip yang melunasi ajaran Islam.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

62. 70 peratus orang Melayu, bila ditanya identitinya, lebih senang memperkenalkan diri mereka sebagai Muslim dahulu, kemudian Melayu.

63. Ini semua harus mengingatkan kita. Bahawa Islam begitu sinonim dan didambakan oleh orang Melayu. Hatta dalam kehidupan moden Malaysia.

64. Lihat sahaja perubahan demografi generasi muda Melayu Malaysia hari ini.

65. Pertama, demografi kita didominasi oleh orang muda, khususnya yang berumur 45 tahun ke bawah.

66. Kedua, mereka berpendidikan tinggi dan mengisi kelas menengah. Ketiga, gaya hidup generasi kini sangat terhubung dengan persekitaran global melalui teknologi.

67. Keempat, mereka adalah golongan yang amat sedar dan peka tentang hak mereka dalam demokrasi. Mereka adalah ‘the democracy native’.

68. Kelima, mereka mempunyai rasa terhubung yang kuat dengan kehidupan beragama. Agama adalah identiti dan kebanggaan mereka.

69. Jadi, pastinya dengan kelima-lima ciri ini, Malaysia pada masa hadapan akan tercorak dengan identiti baharu.

70. Mereka inilah golongan Melayu Maju. Mereka lebih warak, lebih berpengetahuan, lebih stabil ekonominya dan lebih sejahtera.

71. Agama menjadi orientasi dan sumber moralkepada golongan Melayu Maju ini. Pengetahuan menjadi sumber kompetensi dan produktiviti. Dan kesejahteraan merupakan output sasaran yang dikejar.

72. Maka, telah tiba masanya UMNO melihat politik Islam sebagai bahagian utama untuk naratif masa depannya.

73. Dan sebenarnya selama ini, secara tidak kita sedari, politik Islam itu sebenarnya sangat sebati dan bertunas dalam perjuangan UMNO.

74. Cuma apa yang kita perlukan sekarang adalah lonjakan dan fokus yang lebih radikal, besar dan serius. Untuk mengarusperdanakan Islam dalam UMNO secara lebih konstruktif. Secara lebih mendasar. Lebih kemas dan lebih rapi.

75. Kerana UMNO tanpa Islam, akan jadi pergerakan yang hambar. Tiada jiwa, tiada nurani.

Tuan-tuan dan Puan-puan

76. Kerana itulah, sempena 70 usia umno ini, UMNO Johor meraikkannya dengan agenda pembaharuan. Bukan dengan hanya pesta keraian dan majlis tahlil dan doa selamat.

77. Kita menganjurkan jalan baru iaitu menjayakan Agenda Melayu Maju dengan mengarusperdanakan politik Islam sebagai jalannya.

78. Dan saya mengambil kesempatan ini mengajak semua yang hadir, dan mereka yang diluar sana, untuk menyokong gerakan besar-besaran rejuvenasi UMNOini.

79. Dengan memikirkan secara serius kedua-dua saranan yang saya sebutkan tadi. Iaitu dengan mewujudkan kebangkitan moral bahawa UMNO adalah amanah besar dan mengarusperdanakan agendapolitik yang bersyairkan Islam!

80. Hanya dengan menjayakan 2 saranan ini, UMNO akan dapat menjadi gerakan pembaharuan yang progresif, yang bersifat sezaman, yang lebih berkemajuan. Yang bersandarkan syiar Islam yang sebenar.

81. Bukan yang diubahsuai dan ditukar-tukar secara semberono bagi memenuhi citarasa politik dan selera semasa politikus.

82. Tetapi yang bergerak dalam landasan demokrasi. Yang memperjuangkan kepentingan watan dan Melayu dengan inspirasi dan prinsip Islam.

83. Saya harus menegaskan bahawasa politik Islam yang saya sarankan bukan tentang struktur. Bukan tentang negara islam dan hukum hakam.

84. Ia lebih jauh dari itu semua. Politik Islam yang kita anjurkan menjurus kepada sistem nilai dan tadbir urus yang lebih baik. Yang berpasakkan keadilan, kebebasan, ketelusan dan kesepakatan.Yang Islami

85. Politik dan sistem nilai yang mengajak semua orang berlumba-lumpa melakukan amal soleh dan kebaikan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

86. Amatlah penting kita sedari dan faham bahawa politik Islam itu amat luas. Bukan seperti yang selama ini kita dengar dan dimomokkan oleh sesetengah pihak.

87. Yang mentafsir dan meletakkan politik Islam dalam kerangka yang amat sempit dan tidak adil.

88. Yang melihat politik Islam itu hanya pada penubuhan sebuah Negara Islammengikut tafisran mereka. Dan berkisar hanya tentang hukum hudud yang digubal dengan cara yang becanggah-canggah.

89. Politik Islam versi sebegini hanya terkurung dalam isu kepimpinan ulama dan perbahasan siapa yang lebih hebat Islamnya di sisi Tuhan.

90. Pemikiran dan ideologi sebegini adalah sangat terkebelakang.

91. Pada waktu yang sama, agenda Islam kita juga jangan hanya berkisar tentang menaik taraf mahkamah syariah atau gaji guru sekolah agama.

92. Itu naratif yang terlalu kecil dan tidak pun menggambarkan keluwesan sebenar ajaran Islam. Sedangkan politik Islam yang baik itu adalah tentang sistem nilai, cara kerja, pemikiran dan pegangan.

93. Bukannya pada struktur dan jenama. Bukan pada slogan dan warna bendera. Bukan sekadar siapa lebih Islamik.

94. Jadi, bagaimana untuk kita membetulkan keadaan ini sekarang?

95. Saya menyarankan untuk UMNO mengangkat dan membawa politik Islam yang dalam dirinya selama ini, ke tahap yang lebih baik dan terserlah.

96. Dengan cara yang lebih progresif dan berkemajuan. Cara yang lebih unggul dan menepati aspirasi politik Islam.

97. Misalnya, pertama, dengan melihat dan mendalami bagaimana syiar Islam itu boleh menjadi faktor yang dapat menjadikan Malaysia lebih moden dan sejahtera. Bukan menolaknya atau mengubah struktur Malaysia sebagai negara bangsa yang meraikan kemajmukan.

98. Kedua, bagaimana Islam dan ajarannya, boleh membantu melonjakkan Melayu dan Malaysia, menjadi sebuah Negara Kesepakatan yang adil, berdaya saing, kuat dan dihormati.

99. Ketiga, bagaimana Islam mesti menjadi panduan untuk pemimpin kita menjadi lebih beramanah dan takut pada Penciptanya. Sekaligus menghapus politik wang dan salah guna kuasa.

100. Keempat, bagaimana Islam memberikan pelbagai solusi kepada kemaslahatan bangsa. Menggunakan pelbagai pendekatan Islami seperti wakaf, hibah, zakat dan sebagainya.

101. Kelima, bagaimana Islam menjadi rujukan untuk mengurus ekonomi moden dengan bersandarkan prinsip tidak menindas, inklusif dan berkeadilan.

102. Kelima-lima contoh ini adalah sebahagian sahaja daripada cara yang boleh digunakan oleh UMNO untuk menterjemahkan politik Islam yang sebenar dan amat diperlukan oleh Malaysia.

103. Asasnya memang semua yang telah saya nyatakan diatas, telah ada dan dilaksanakan dalam UMNO. Tetapi masanya telah tiba untuk ia lebih diserlahkan. Dijadi dan diangkat menjadi rencana dan agenda utama UMNO untuk masa depan.

104. Dan pastinya terdapat lebih banyak lagi pendekatan yang progresif dan matang seperti ini yang boleh kita terokai selepas ini.

105. Pokok pangkalnya, hari ini, seminar ini, harus menjadi pemula. Pemula untuk kita semua bersetuju, berazam dan berusaha. Untuk menjadikan UMNO dan politik Islam itu lebih baik dan unggul. Dengan citra dan lonjakan yang baharu.

Tuan-tuan dan puan-puan,

106. Akhir kata, saya hanya ingin menegaskan sekali lagi.

107. Sudah tiba masanya UMNO dan Islam bergerak dengan lebih rapat, lebih tersatudan seiringan. Dengan cara yang lebih kemas dan saling menguat.

108. Dan sudah tiba masanya untuk UMNO melancarkan gerakan besar-besaran melaksanakan Agenda Melayu Maju yang bersandarkan politik Islam progresif ini.

109. Agenda pembaharuan nilai dan pemikiran yang selari dengan saranan dan seruan Islam itu sendiri. Yang selari dengan jangkaan dan pemikiran yang maju dan Islami.

110. Kepada semua para penceramah dan tetamu yang hadir. Sekali lagi terima kasih atas sumbangan dan masa yang diberikan. Semoga segala yang kita lakukan ini, diangkat oleh-Nya sebagai amalan baik yang mendapat keredhaan, insyaAllah.

111. Maka, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, saya dengan ini mengisytiharkan penutupan seminar Komemoratif UMNO 70 Tahun.

112. Sekian, terima kasih.

Top