..."/>

TIDAKAN NGA KOR MING BUKAN PENDIRIAN MASYARAKAT CINA

PUTRAJAYA: Tindakan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming mempermainkan isu Aidilfitri tidak melambangkan pendirian masyarakat Cina di negara ini.

Ketua Pemuda MCA Senator Chong Sin Woon berkata, sebaliknya perlakuan Pengerusi DAP Perak itu adalah salah satu daripada siri sentimen kebencian yang selalu dipamerkannya.

“Soal penghinaan Aidilfitiri (pemberian duit raya) itu bukan perkara pertama yang ditimbulkan Nga Kor Ming. Beliau sudah banyak kali mengeluarkan kenyataan berbentuk provokasi dan berbaur perkauman,” katanya ketika ditemui Barisan Nasional (BN) di sini, semalam.

Katanya, Nga sepatutnya insaf dan menggunakan laman sosial sebagai salah satu platform untuk menyebarkan perkara positif.

Menurutnya, alasan laman Facebook digodam seakan-akan sebati dengan DAP setiap kali melakukan kesalahan sedemikian.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen yang berpengalaman Nga sepatutnya tidak menyebarkan sikap angkuhnya tetapi perlu menggunakan laman sosial untuk meraih sokongan dan bukan mencemarkan nama baik sesiapa. Ini adalah amalan yang sangat teruk,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai rusuhan yang berlaku berikutan tindakan Nga, Chong berkata, pihaknya menasihatkan supaya semua pihak bertenang.

“Diharap semua bertenang kerana kita tidak mahu pertembungan khususnya antara kaum majoriti di negara ini berlaku. Saya pasti rakyat tidak kira latar belakang kaum mahukan keamanan,” katanya.

Baru-baru ini, Nga memuat naik poster ucapan Hari Raya Aidilfitri bertemakan Amerika dan berlatarbelakangkan bendera negara itu serta gambar rumah api yang diambil menerusi laman web DrJamesDobson.org, pengasas organisasi konservatif Kristian Amerika.

Malah poster yang dimuat naik pada 5 Julai lalu itu turut diselitkan perkataan ‘In God We Trust’ serta ‘Lord Guide Our Nation Back To You’ dan simbol tangan berdoa.

“We serve to bless others, we are from the people, by the people & for the people. Selamat Hari Raya,” kata Nga dalam kenyataan yang dimuat naik bersama poster berkenaan.
Sumber; Barisannasional.org

Top