..."/>

TERNAKAN KUPANG JADI PROJEK TUMPUAN ORANG ASLI KUALA MASAI

PASIR GUDANG, 1 Apr – Koperasi Asli Kuala Masai Berhad hari ini menerima dorongan dalam bentuk suntikan dana daripada Kerajaan Negeri bagi melaksanakan projek ternakan kupang di Kampung Kuala Masai.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin mengumumkan suntikan RM30,000 kepada koperasi itu sebagai penzahiran keyakinan Kerajaan Negeri kepada koperasi itu untuk menjayakan projek berkenaan.

“Kita telah kenal pasti projek yang sesuai untuk orang asli dengan mengadakan kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah serta syarikat yang akan mengambil kupang itu.

“Kawasan ini memang sesuai untuk ternakan kupang dan anggaran tuaian hasil kupang boleh mencecah RM20,000 hingga RM30,000 setiap kali tuaian.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Walkabout Program Pembangunan Komuniti Masyarakat Orang Asli dan Mesyuarat Agung Penubuhan Koperasi Asli Kuala Masai Berhad, di Kampung Kuala Masai, hari ini.

Tegas Mohamed Khaled, dorongan sedemikian adalah sebahagian daripada usaha pembangunan inklusif Kerajaan Negeri bagi memastikan komuniti Orang Asli turut tidak ketinggalan dalam menikmati manfaat pembangunan dan kemajuan negeri Johor.

“Kita mahu mentransformasi dan membawa pembaharuan kepada masyarakat Orang Asli, bukan dari segi perubahan jati diri mereka, tetapi agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan pembangunan, kemajuan dan pemodenan.

“Bagi kawasan Pasir Gudang, melalui kerjasama Yayasan Pasir Gudang dan Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Johor, pelbagai program yang merangkumi aspek kesihatan, kebersihan dan sosial telah dirangka,” katanya.

Antara program-program yang dirancang termasuk pemeriksaan gigi dan kesihatan, penjagaan dan pemotongan rambut percuma serta kursus kemahiran pembuatan kristal, anyaman serta masakan.

Bagi seluruh negeri Johor, sebanyak RM450,000 telah diperuntukkan pada tahun ini untuk program-program Orang Asli.

Top