..."/>

TEKS UCAPAN PENUH PERASMIAN MESYUARAT UMNO BAHAGIAN PASIR GUDANG

https://www.facebook.com/48750023172/posts/10158266912578173/?d=n

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang merangkap Naib Presiden UMNO Malaysia
2 Januari 2021

Para perwakilan yang dihormati;

A) PEMBENTUKAN KERAJAAN

Perbezaan paling ketara antara perhimpunan kali ini dengan tahun lalu adalah, kali ini kita berhimpun sebagai Kerajaan, berbanding sebagai pembangkang.

Terlalu banyak perkara yang telah berlaku sepanjang setahun ini. Selain pandemik COVID-19 yang sangat menguji kita semua, pentas politik tanah air juga tidak sunyi dengan babak-babak yang pelbagai. Ada yang mencemaskan. Ada yang merimaskan. Ada yang baik. Ada yang jelik.

Untuk UMNO, kita turut menyaksikan pelbagai perkara berlaku kepada kita. Kini, UMNO telah menjadi sebahagian daripada Kerajaan bermula Mac 2020 yang lalu. Akan tetapi, walaupun UMNO menjadi kerajaan adalah sesuatu yang positif, ada beberapa perkara yang mesti kita ingat.

Pertama, ingatlah yang kita ini membentuk Kerajaan bukan kerana kita memenangi pilihanraya. Kita sebenarnya tewas dalam gelanggang demokrasi pada 2018. Kita ditolak. Cuma, kita bernasib baik kerana Kerajaan PH sangat tidak berpengalaman. Mereka kemaruk kuasa. Mereka alpa dengan kewajipan. Nikmat berkuasa menyebabkan mereka saling bercakaran. Sehingga mereka terhukum dengan tindakan sendiri.

Bagai antan bertingkah di lesung, ayam yang kenyang. Kerana mereka bercakaran, akhirnya kita yang untung. Tetapi, apalah yang hendak dibanggakan dengan keadaan sebegini.

Kedua, kita menjadi pemerintah bukan kerana kita kuat, tetapi kerana musuh kita yang lemah dan berpecah. Kelemahan musuh telah dieksploitasi dengan kemahiran pencak silat politik yang luar biasa oleh sebahagian daripada ahli politik kita. Sehinggalah tumbangnya PH dan terbentuknya PN. Bukan kerana kepercayaan rakyat kepada UMNO. Ia bukan suatu pencapaian yang kita patut berbangga atau mendabik dada kerananya.

😎 KEMBALI KEPADA REALITI

Oleh yang demikian, hari ini saya ingin mengajak semua perwakilan untuk kembali kepada realiti yang sebenar.

  1. Pertama, kita mesti berpijak di bumi yang nyata. Sekali pun UMNO adalah dalam kerajaan memerintah, kita tidak boleh sesekali berlagak tuan. Ujian sebenar UMNO menanti di medan pilihanraya akan datang. Janganlah kita lupa bahawa kuasa yang kita miliki waktu ini, dirampas tanpa mandat rakyat yang sebenar. Ingatlah, akhirnya, dalam sedikit masa lagi, rakyat jua yang akan menentukan destinasi UMNO seterusnya.
  2. Kenapa saya mengajak perwakilan untuk berpijak di bumi yang nyata ini dan memahami realiti sebenar kedudukan politik semasa?
  3. Sebabnya hanya satu. Kerana saya tidak mahu wujudnya sikap sombong dalam diri kita. Sikap lupa daratan. Sikap tuan yang senantiasa hebat, dan yang tidak berkesudahan. Hikmah Melayu berpesan, “bagaimana bunyi gendang, begitulah tarinya”. Namun kita bertindak sebaliknya.
  4. Kita berfikir, bertindak dan bercakap seolah-olah kita menguasai Kerajaan. Kita juga semacam telah melupakan langsung usaha pembaharuan parti. Kita lupa kita pernah dihukum rakyat. Jika kita yang berkuasa dahulu boleh tersungkur dan kalah, apa jaminan yang ia tidak akan berlaku sekali lagi.
  5. Apatah lagi bila kita hanya dilayan sebagai ‘penumpang’ dalam Kerajaan sekarang.

Tuan-tuan dan Puan-puan;

C) PEMBAHARUAN PARTI

Yang lebih mencemaskan saya ialah jika kita tidak lakukan apa-apa kepada pembaharuan parti.

  1. Lihat sahaja semenjak UMNO mendukung Perikatan Nasional, islah dan pembaharuan UMNO kurang kedengaran. Seolah-olah masalah sebenar UMNO yang telah menyebabkan UMNO kalah, telah selesai sebaik sahaja menjadi Kerajaan. Tiada siapa lagi yang bercakap tentang usaha reformasi UMNO. Seolah-olah UMNO ini terus sempurna.
  2. Adalah Sangat menyedihkan jika UMNO lupa kepada kepentingan pembaharuan dan pembaikan parti. Kerana tiada jalan terbaik dan terpenting untuk menguasai Kerajaan pada masa hadapan kecuali UMNO benar-benar berubah dan memaparkan keunggulan baru.
  3. Kembali kepada asasnya. Kembali menjadi jurucakap bangsa. Kembali menjadi parti yang diyakini bangsa. Kembali menjadi pusaka hati bangsa.

(a) Pengislahan UMNO

  1. Namun, tidak dinafikan jalan islah untuk UMNO itu banyak sekali hambatannya. Seperti padi hampa, semakin lama semakin mencongak.
  2. Saya faham UMNO ini besar. Dan kerana ia besar, bukan mudah untuk kita mengolah dan mengubahnya semula. UMNO telah menjadi institusi kepada bangsa Melayu, yang lama sarat dengan budaya, pemikiran, keahlian dan segala macam pancaroba yang menjadikannya tidak luwes untuk berubah. Jadi, UMNO sangat memerlukan masa, iltizam, fokus dan kemahuan luar biasa untuk berubah.
  3. Walaupun jalan Islah itu tidak mudah, namun tanpanya UMNO tidak akan menjadi lebih baik. Tanpa Islah, UMNO tidak akan dapat meyakinkan bangsa Melayu untuk mendukungnya, apatah lagi meyakinkan rakyat Malaysia untuk menerimanya.
  4. Saya tidak akan jemu menyeru kepada islah ini. Islah itu jalan pembaikan yang mesti berlaku kerana desakan persekitaran yang semakin berubah. UMNO tidak boleh terus ‘changeless’ dan ‘directionless’ sebegini. Tanpa Islah, UMNO akan menjadi parti yang pasti luput dek zaman.
  5. Hujan panas itu permainan hari. Susah senang itu permainan hidup. Demikianlah sunnahtullah. Dan demikian jugalah Islah UMNO ini. Sekalipun Islah itu sukar, janganlah kita tidak mencuba dan berusaha menjayakannya.
  6. Ia menuntut kerja keras, nilai baru, kecerdasan terbaik, iltizam dan kesungguhan untuk menjadi lebih unggul. Tanpa itu semua, parti ini tidak akan mempunyai apa-apa keunggulan. Tanpa keunggulan baru, UMNO akan menua dengan terus bernostalgia dengan pencapaian lepas.
  7. Untuk ke sekian kalinya, saya mengajak kita semua kembali membetulkan UMNO ini. Mega mendung yang menyelubungi UMNO selama ini mesti segera berakhir. Dengan Islah, insya-Allah awan mendung akan mengirim hujan, sinar matahari akan membawa cerah, air yang surut mengarak pasang, muara sungai mencipta lembah jua.

(b) UMNO Sebagai Parti Penengah dan Berpendirian Sentris

  1. Perkara kedua yang ingin saya utarakan pada hari ini ialah betapa pentingnya UMNO untuk terus menjadi parti penengah, berpendirian sederhana dan sentris. Kita mesti menjadi parti kebangsaan yang memperjuangkan politik pertengahan dan kesederhanaan.
  2. Bersifat sederhana dan berpendirian sederhana itu memang telah menjadi DNA UMNO. Masakan UMNO mampu selama 6 dekad, menjadi parti induk BN jika ia bukan sederhana dalam pendirian dan tindakannya.
  3. Selama berpuluh tahun, pelbagai parti politik dengan pelbagai ideologi dan fahaman, dari seluruh pelosok negara, kita gemblengkan untuk bekerjasama bagi mengurus tanahair ini dengan aman dan berjaya.
  4. Mereka yakin dengan formula UMNO. Tetapi yang lebih penting, mereka yakin dengan pendirian UMNO, walaupun sebagai parti kebangsaan tetapi tegar dengan sikap yang sederhana dan ideologi konservatif yang progresif.
  5. UMNO lah pelopor politik permuafakatan dengan pendirian sentris. Rekod UMNO tidak boleh disanggah. Sepanjang UMNO memerintah, jalan politiknya adalah hikmah. Mengiktiraf hak dan keperluan semua. Menolak politik ras dan agama yang ekstrem atau melampau.
  6. Kerana hikmah kesederhanaan inilah, pelbagai bangsa hidup dengan rukun dan damai di tanah air kita. Tiada sekali pun UMNO dan BN membenarkan konflik perkauman tercetus, kecuali peristiwa 13 Mei yang semua orang tahu, bukan dimulai oleh orang Melayu.
  7. Tiada satu kaum pun, atau daerah geografi, yang tidak diwakili kepentingannya dalam kabinet Malaysia pimpinan UMNO. Benar dalam masa 60 tahun tersebut, UMNO tidak sempurna dan tidak terlepas dari segala khilaf.
  8. Pasti ada perhitungannya yang tersasar dan yang tidak sempurna. Dan adalah amat mustahil semua tindakan UMNO akan memuaskan hati atau menggembirakan semua pihak setiap masa. Namun sepanjang UMNO memerintah, kejayaan mengurus kepelbagaian Malaysia adalah sangat luar biasa. Malah, menjadi suri teladan kepada banyak pihak.

Tuan-tuan dan Puan-puan;

D) KEPENTINGAN JALAN TENGAH

Kenapa pada hari ini saya menyeru UMNO agar kembali kepada jalan sederhana?

Ini kerana telah ada kedengaran suara dan persepsi yang mendakwa bahawa UMNO melalui kerjasamanya dengan PAS, telah mula beralih menjadi parti “ultra Melayu Islam”.

  1. Ramai kelas menengah dan atasan Melayu dan bukan Melayu yang khuatir UMNO telah mula menggunakan naratif politik identiti secara sempit dan berlebihan.
  2. Malah ada yang mendakwa UMNO kini memainkan sentimen politik identiti sebagai senjata demi kemenangan politik jangka masa pendek. Saya ingin menegaskan bahawa populisme berasaskan ras dan kaum atau ethno-populism bukan cara UMNO untuk menawan dan mengurus Malaysia.
  3. Saya akui bahawa politik identiti adalah sebahagian dari DNA UMNO. Malah DNA pelbagai parti politik lain pun di Malaysia. Tetapi ia tidak pernah digunakan dengan cara yang ekstrem atau dengan cara yang menidakkan kepentingan bangsa lain. Yang paling utama, ia tidak pernah dijadikan instrumen menzalimi puak dan kaum tertentu.
  4. UMNO sedar, jika ia ingin berkuasa semula, maka formulanya hanya satu. Orang Melayu bukan sahaja mesti bersatu, tetapi orang Melayu mesti memeta jalan untuk menguruskan Malaysia bersama-sama bukan Melayu. Seikat bagai sirih, serumpun bagai serai, seliang bagai tebu.
  5. Demi kesejahteraan tanahair ini, orang Melayu mesti mencari jalan untuk melakukan kerjasama strategik dengan semua pihak dan dengan semua kaum. Bukan sekadar kerjasama politik, tetapi perpaduan yang sebenar-benarnya.
  6. Inilah jalan ke hadapan. Tiada Pelan B dan Pelan C. Hanya satu Pelan. UMNO dan pelbagai parti lain, mesti berpadu dan berkongsi kuasa untuk Malaysia. Seperti tertubuhnya Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional. Malah formula itu jugalah yang cuba diciplak oleh PH, namun gagal.

E) PENGHARGAAN KEPADA PARTI KOMPONEN BN

  1. Di kesempatan ini, saya zahirkan betapa UMNO sangat berterima kasih dengan MCA dan MIC kerana terus mendukung politik sederhana dan berhikmah melalui Barisan Nasional. Mereka tidak meninggalkan UMNO di saat paling sukar. Tidak seperti yang lain, yang, bukan sekadar keluar BN, tetapi mengkhianati UMNO. MCA dan MIC adalah rakan yang setia.
  2. Atas dasar itu, marilah kita semua para perwakilan sekalian, memperbaharui janji kita. Bahawa dalam segala kelemahan dan kebaikan lepas, kita akan terus berpegang kepada semangat bersederhana dan sentris serta bermuafakat.
  3. Agar melaluinya akan berhasillah Malaysia yang lebih baik dan sejahtera. Tuah kerbau gemuk, tuah lumbung berisi, tuah manusia semuafakat. Jangan sama sekali kita membelakangkan aspirasi setiap warganegara Malaysia yang pelbagai.
  4. Teruslah memilih jalan sederhana dan jalan berhikmah. Kerana ‘wasatiyyah’ dan ‘tassamuh’ itu adalah ajaran agama kita yang telah sebenarnya menjadi nilai bangsa dan budaya masyarakat kita.
  5. Insyallah, UMNO akan terus setiakawan dengan masyarakat bukan Melayu, kerana perjalanan politik kita yang berpuluh tahun itu sarat dengan cerita terbaik sebagai sebuah masyarakat majmuk yang dicontohi serata dunia.

Para perwakilan yang saya kasihi;

  1. Sama-samalah kita bangunkan ketumbukan politik yang bukan sahaja sederhana dan progresif, tetapi juga inklusif. Marilah kita lancarkan ikhtiar memerangi segala bentuk ‘kejahilan’ dan politik ekstrim serta ultra, yang dipelopori oleh mereka yang sempit fikrah dan tertutup mindanya. UMNO mesti menjauhkan diri dari mereka yang ingin memesong UMNO dengan politik sempit, dangkal dan jahil.
  2. Kita tidak akan sama sekali lupa pada tanggungjawab kita untuk bangsa Melayu. Kita semua lahir, membesar dan dewasa dalam persekitaran UMNO dan perjuangan Melayu. Lalu tanggungjawab mengupayakan Melayu itu adalah sesuatu yang bersifat asas, rukun dan dasar dalam agenda kehidupan kita.
  3. Marilah kita berazam untuk melipatgandakan usaha ini semua dengan penuh keadilan. Mengukuhkan pengaruh dan kedudukan Melayu bukan bermakna menafikan hak dan kepentingan bangsa lain. Atas sebab itu UMNO akan terus mempertahankan BN.

F) MUAFAKAT NASIONAL, BUKAN PERIKATAN NASIONAL

  1. Pada masa yang sama, kita tetap mengukuhkan permuafakatan bersama PAS dalam Muafakat Nasional. Tetapi tidak untuk menyertai Perikatan Nasional. Dan akan terus bertanding sebagai BN dalam pilihanraya yang akan datang.
  2. Walaupun bukan sebagai sebuah entiti politik berdaftar, MN adalah wadah permuafakatan semua pemegang taruh Melayu tanpa mengira ideologi dan fahaman politik, demi kelangsungan kepentingan Melayu, Islam dan tanahair.
  3. UMNO dan PAS serta sesiapa sahaja yang menyertainya, bertanggungjawab menjadikan MN sebagai sebuah platform nasional yang memberi daya perjuangan kebangsaan dan memartabatkan Islam. Kerana itu, UMNO sangat jelas dengan pendiriannya. Mengukuhkan MN adalah keutamaan. UMNO juga memutuskan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN).
  4. Sebab utamanya kerana PN tidak mempunyai daya dan kekuatan yang sebenar untuk mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam. Peranan tersebut telah diterajui oleh MN. PN juga tidak akan mampu menarik sokongan bukan Melayu kerana dilihat sebagai perikatan politik parti berteras Melayu dan tidak lebih daripada itu.
  5. Perwakilan bukan Melayu dalam PN seperti hanya penyeri agar PN tampak berseri dengan dua tiga Menteri bukan Melayu. Apatah lagi apabila PN tertubuh secara ad hoc hanya di peringkat ahli-ahli Parlimen, tanpa rujukan kepada ahli-ahli, tanpa idealisme dan ideologi yang jelas dan tanpa misi yang strategik untuk Malaysia.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

G) JALAN KEDEPAN: PENGUKUHAN BARISAN NASIONAL

  1. Barisan Nasional adalah jenama politik, ‘a political brand’ yang sangat sebati dengan masyarakat majmuk Malaysia. Ideologinya sederhana, pendekatannya berasas muafakat dan pentadbirannya berhasil membangunkan Malaysia moden.
  2. BN mesti terus menjadi brand politik yang diperjuang dan di kukuhkan oleh UMNO, MCA dan MIC. Masakan hanya kerana tewas sekali, kita tinggalkan BN, membiarkan ia hidup segan mati tak mahu. Kerana itu BN mesti di gelorakan semula. Ia mesti diperjuangkan. Ia mesti menjadi wadah UMNO untuk memberi solusi kepada kemaslahatan Malaysia yang majmuk.
  3. Saya telah tegas dengan pendirian bahawa UMNO dan PAS adalah kekuatan politik yang ampuh. Namun saya juga tegas mengatakan bahawa UMNO memerlukan BN untuk mengurus sokongan bukan Melayu, Sabah serta Sarawak.
  4. Tiada parti dapat membentuk Kerajaan tanpa dokongan masyarakat pelbagai kaum. Kerana itu, UMNO mesti kembali ghairah mengukuhkan BN dan bukannya wadah lain. BN ini bukan hanya simbol dan logo yang kita pacak dan kibarkan hanya waktu pilihanraya.
  5. Ia adalah ideologi yang, selama berpuluh-puluh tahun, telah mengikat pelbagai kaum di Malaysia untuk menjaga antara satu sama lain, saling berlebih kurang dan berkongsi dalam kelebihan dan kekurangan demi sebuah kecukupan untuk hidup harmoni.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Sebagai pengakhiran, UMNO mesti bangkit kerana, sudah menjadi resam dan adat orang Melayu, untuk kembali bingkas sesudah tertewas.

Pada kita orang Melayu, jatuh itu biasa, bangun itu mesti. Kalah itu adat. Bangkit itu pasti. Kita mesti pastikan UMNO kembali menjadi sebuah parti yang mempunyai asas ideologi yang jelas dan kuat.

UMNO bukan parti untuk sesetengah pihak sahaja. Tetapi parti yang kuat dan memberi manfaat kepada semua. Insyallah itulah yang UMNO akan lakukan. Semangat Malaysia yang sebenar.

Top