..."/>

Tahniah JDT Kerana Menempa Sejarah

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada pasukan Johor Darul Takzim (JDT) di atas kejayaan mencipta sejarah merangkul kejuaraan Piala FA 2016.

Saya berasa amat berbangga di atas kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh pasukan bola sepak JDT.

Semoga kejuaraan ini menjadi pembakar semangat kepada pasukan Harimau Selatan untuk terus menempa lebih banyak lagi kemenangan pada masa-masa akan datang.

Kejayaan yang sudah tentunya menjadi contoh kepada sukan-sukan lain di Johor, untuk turut sama menempa kehebatan di dalam dan luar negara.

Sesungguhnya, rentetan kejayaan itu bukanlah sesuatu yang datang bergolek.

Ia hasil usaha gigih semua pihak yang terlibat dalam memajukan Johor dan seluruh isinya.

Menjunjung kasih dan tahniah kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang tidak mengenal erti penat atau mengalah untuk terus memastikan kecemerlangan pasukan JDT.

Tidak dilupakan, setinggi-tinggi terima kasih juga diucapkan kepada seluruh peminat dan penyokong yang sentiasa bersama-sama dan bermuafakat, baik di kala susah mahupun di kala senang, dengan memberi sokongan padu kepada pasukan JDT.

Bukan hanya di Stadium Shah Alam pada malam ini, tetapi juga kepada semua Bangsa Johor yang mengiringkan doa dan semangat dari segenap pelusuk Negeri Johor dan tanahair.

Sokongan yang tidak berbelah bahagi ini akan terus menjadi azimat buat JDT untuk terus mara ke hadapan, mencipta kemenangan demi kemenangan.

Tahniah JDT! Tahniah Harimau Selatan!

YAB Dato’ Mohamed Khaled Nordin
Menteri Besar Johor

Top