..."/>

Soal Jawab Bersama Naib Ketua UMNO Bahagian Kukup

S: Pendapat YB mengenai PAU 2013?
J: Persidangan kali ini dilihat meriah, sama seperti tahun-tahun sebelum ini. Cuma yang bezanya ketika berlangsungnya persidangan kali ini, beberapa negeri sedang dilanda banjir dan ia sedikit sebanyak mengganggu fokus pemimpin.

Namun ia bukan halangan untuk pemimpin turun ke padang untuk membantu dan menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang terlibat. Ketika banjir melanda inilah, terdapat beberapa pihak yang menuduh UMNO mengabaikan rakyat yang dilanda musibah, sedangkan UMNO enak menjamu selera. Tuduhan itu sememangnya tidak berasas.

S: Dalam ucapan Dasar Presiden, beliau secara rasminya mengisytiharkan Wanita UMNO sebagai tulang belakang parti. Komen YB mengenai perkara ini?
J: Saya amat bersetuju dengan pengumuman itu. Dan sewajarnya Wanita UMNO mendapat kelayakan atas pengiktirafan secara rasmi dari Presiden UMNO.

Jika kita lihat dimana-mana program sama ada melibatkan parti atau program-program kemasyarakatan, wanitalah yang paling menonjol dan sibuk membantu membuat persiapan. Inilah yang dinamakan tulang belakang, dan tanpa mereka parti kelihatan kehilangan sayapnya.

S: Dalam senario politik masa kini, adakah YB melihat UMNO masih relevan sebagai sebuah parti yang mampu mentadbir Negara dan menjadi sebuah parti yang mampu memperjuangkan hak Orang Melayu?
J: Dalam ucapan Dasar Presiden, ada dinyatakan bahawa keahlian UMNO kini sudah lebih daripada tiga juta. Ini jelas menunjukkan UMNO masih mempunyai sokongan dan ia masih relevan dan menjadi parti yang paling utama dalam memperjuangkan hak-hak Orang Melayu.

Parti yang berusia 67 tahun ini telah banyak berjasa kepada negara dan mempunyai pengalaman yang luas untuk meneruskan perjuangan negara dan parti demi kesinambungan generasi pada masa hadapan.

S: Semalam, wakil daripada UMNO Johor iaitu Datuk Zulkurnain Kamisan menyatakan bahawa parti komponen haruslah selesaikan masalah dalaman bagi hadapi Pilihanraya Umum akan datang. Bagi pandangan YB, bagaimana cara untuk semua parti komponen mengatasi masalah mereka?
J: Mereka kena ikhlas dalam menyelesaikan masalah parti. Berganding bahu dan bekerjasama untuk kuatkan parti mereka dan sekaligus dapat mengembalikan semula sokongan kaum atau kumpulan yang mereka wakili.

Mereka juga kena berani untuk melakukan transformasi secara menyeluruh bermula dari peringkat atas hinggalah ke bawah. Dan yang paling penting, transformasi yang dilakukan itu haruslah diterima oleh setiap kalangan ahli tanpa ada bias kepada mana-mana pihak.

S: Cadangan YB sendiri untuk memastikan UMNO menjadi parti yang berjaya dan mentadbir urus Negara dengan bijak?
J: UMNO haruslah tegas dalam setiap tindakannya dan sanggup membuat dasar yang tidak popular, tetapi berkesan dan membawa kebaikan kepada parti. Kita tidak mahu UMNO sentiasa berada pada tahap yang sama walaupun sudah mengalami transformasi.

Bagi memantapkan lagi kepimpinan dan pentadbiran, haruslah melantik lebih ramai pemimpin muda dan melatih mereka sebagai pelapis pimpinan negara. Pada masa hadapan, golongan inilah yang bakal menentukan masa depan negara dan pendapat serta pandangan daripada mereka haruslah diberikan tumpuan.

Top