..."/>

SEKOLAHKAN DAP DAHULU

“Saya menulis sebagai respon kepada penulisan Sheikh Omar Ali yang disiarkan di ruangan portal Malaysiakini (https://m.malaysiakini.com/news/316214) pada 19 Oktober 2015.

Nasihat saya kepada Sheikh Omar sebelum berhajat untuk men’sekolah’kan mana-mana parti politik, beliau perlu bermuhasabah diri terlebih dahulu dengan melihat keadaan parti yang diwakili beliau sendiri. Pergolakan kepimpinan DAP Johor masih tidak bertemu jalan penyelesaian. Konflik demi konflik yang menyaksikan pengkhianatan terhadap ketua pembangkang negeri Dr Boo Cheng Hau. Bagaimana beliau yang telah berkhidmat selama 7 tahun boleh dilupakan begitu sahaja? Bahkan Dr Boo Cheng Hau sendiri mengakui bahawa beliau telah dikhianati oleh partinya sendiri!

Selain itu, nasihat saya kepada Saudara Sheikh Omar Ali yang merupakan Pegawai Khas kepada seorang Ahli Parlimen DAP untuk mula memberikan nasihat kepada bosnya sendiri untuk lebih kerap pulang melihat sendiri perihal kawasan yang diwakili oleh bosnya. YB Liew Chin Tong sudah boleh berhenti sekadar menjadi ‘YB Internet’ seperti yang dinyatakan oleh rakannya sendiri yang merupakan bekas Timbalan Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez baru-baru ini.

Benar kata pepatah, satu jari menunjuk ke hadapan maka 4 jari lagi menuding kepada diri sendiri. Jika sekiranya Sheikh Omar Ali ingin menjadi juara rakyat atau ingin menjadi seorang pegawai khas yang baik kepada bosnya, berlaku jujurlah. Hentikanlah segala politik sempit yang beliau cuba mainkan. Sesungguhnya UMNO Johor kini begitu komited untuk memperjuangkan nasib rakyat. Jangan dijual hujahan sempit dan dangkal tanpa fakta yang konkrit menyokong hujah anda.

Melalui penulisan Sheikh Omar juga terdapat suatu kekhilafan fakta yang jelas atau mungkin saudara cuba untuk menyembunyikan suatu fakta bahawa YAB Dato’ Mohamed Khaled Nordin merupakan menteri yang meminda AUKU ketika beliau menjadi Menteri Pengajian Tinggi. Bahkan bukan sekali namun dua kali iaitu pada tahun 2009 dan sekali lagi pada tahun 2012. Pindaan tersebut dilakukan kerana sebagai seorang pemimpin, Khaled Nordin yakin dan percaya bahawa beliau hanya meminjam dunia hari ini daripada anak-anak muda untuk mereka akhirnya warisi.

Suka juga untuk saya kongsikan pada tahun 2014 sahaja sebanyak RM21.18 billion jumlah pelaburan telah dikutip oleh Kerajaan Johor. Itu belum lagi diimbang kira peratusan perbelanjaan kepada institusi agama di Johor terutama dalam usaha memperkasakan Sekolah Agama Johor di mana kerajaan DAP di negeri Pulau Pinang mengambil isu agama Islam dengan begitu enteng.

Doa saya kepada saudara Sheikh Omar Ali agar beliau tetap dengan prinsipalnya atau mungkin Sheikh Omar Ali seorang figura yang pernah me’lompat’ dari PAS ke DAP tidak mempunyai prinsip perjuangan yang jelas?

NOOR AZLEEN BIN AMBROS
PENOLONG SETIAUSAHA
PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN PASIR GUDANG‎

Top