..."/>

Segamat bakal menjadi kawasan perindustrian pertanian dan ekopelancongan

SEGAMAT 28 Jan : Segamat diberi perhatian kerana berpotensi dibangunkan sebagai kawasan perindustrian pertanian dan pusat ekopelancongan berdasarkan kemudahan serta kegiatan pertanian yang dijalankan secara meluas oleh penduduk.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara tersebut akan diambil kira dalam dalam rangka Pelan Pertumbuhan Ekonomi Strategik Johor yang bakal dimuktamadkan pada hujung tahun ini.

“Bagi menjayakannya kerajaan negeri akan meneliti segala kelebihan yang ada dan keperluan penduduk setempat agar tidak ada yang merasakan terpinggir dari limpahan arus pembangunan berikutan daerah ini terletak agak jauh dari pusat pentadbiran negeri.

“Melalui Pelan Pembangunan Ekonomi Strategik kerajaan akan dapat melihat dengan lebih jelas keperluan serta kesesuaian pembangunan yang bakal diagihkan secara sama rata di setiap daerah,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Tengah Hari Sempena Lawatan Kerja ke Daerah Segamat di sini semalam.

Dalam lawatan kerja tersebut, beliau turut meninjau kemajuan pembinaan Lebuhraya Segamat – Tangkak, rancangan tebatan banjir dan merasmikan Klinik 1Malaysia (KR1M) di Bukit Siput dekat sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, turut meluluskan peruntukan RM300,000 bagi menaik taraf pusat pemindahan banjir di Kampung Pogoh 2 dekat sini.

Menurut YAB kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan mana-mana kawasan atau daerah dalam pengagihan pembangunan, sebaliknya dilakukan secara adil dan menyeluruh, malah pelbagai projek pembangunan sedang rancak berjalan di Segamat dengan peruntukan berjumlah lebih RM1.5 bilion.

Antara projek dari kerajaan Pusat dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kata beliau adalah Lebuhraya Segamat – Tangkak yang menelan kos RM792 juta, rancangan tebatan banjir sebanyak RM231 juta dan Projek Landasan Berkembar menghubungkan Gemas-Johor Bahru bernilai RM8 bilion.

“Kesemua peruntukan itu belum dicampurkan dengan peruntukan dari kerajaan negeri. Tidak dinafikan rangkaian jalan raya dan masalah banjir membantutkan kemasukan pelabur luar ke daerah ini sebelum ini, namun ketiga-tiga projek pembangunan yang sedang berjalan diharap akan dapat menyelesaikan masalah tersebut.

“Sebaik sahaja masalah diatasi, akan datang lebih ramai pelabur datang membuat pelaburan di daerah ini sekali gus mampu merancakkan kegiatan ekonomi yang mampu memberi kemakmuran kepada warga Segamat,” katanya. (sumber utusan)

Top