..."/>

Puteri sedia RM140,000

SEGAMAT 9 Dis – Pergerakan Puteri UMNO akan mengagihkan sejumlah RM140,000 daripada Tabung Prihatin Puteri bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara termasuk mangsa bencana Taufan Haiyan di Filipina.

Naib ketuanya, Zahida Zarik Khan berkata, daripada jumlah tersebut, RM100,000 akan digunakan bagi membantu mangsa banjir di dalam negara manakala RM40,000 pula bagi mangsa bencana taufan di Filipina.

”Sebaik tabung ini dilancarkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2013 lalu, kita telah berjaya mengumpul sebanyak RM140,000 hasil sumbangan daripada pelbagai pihak dan orang ramai.

”Justeru, wang yang kita perolehi ini akan digunakan bagi membantu dan meringankan beban mangsa-mangsa bencana alam ini,” katanya pada program Gotong Royong Puteri di pusat pemindahan banjir Kampung Spang Loi, Batu Anam di sini hari ini.

Menurut Zahida, seramai 100 orang sukarelawan daripada pergerakan itu turut membantu mangsa banjir serta menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian di beberapa pusat pemindahan sejak beberapa hari lalu.

Katanya, program tersebut adalah yang pertama diadakan di negeri ini dan pihaknya akan menjelajah ke daerah dan negeri-negeri lain yang turut terjejas akibat bencana tersebut.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO negeri, Rohaizah Ahmad berkata, pihaknya tidak ketinggalan dalam membantu mangsa banjir khususnya di negeri ini termasuklah mengambil inisiatif membersihkan kediaman mangsa selepas banjir surut.

”Kami sedar mangsa banjir ini bukan sahaja memerlukan bantuan ketika banjir tetapi juga selepas banjir, sebab itu kami mengambil inisiatif untuk bersama-sama membantu mangsa dengan membersihkan rumah mereka.

”Kami berharap usaha yang dilakukan oleh pergerakan ini bukan sahaja dapat meringankan beban mangsa malah turut merapatkan lagi hubungan antara ahli pergerakan dengan masyarakat,” katanya. (ehsan UTUSAN ONLINE)

Top