..."/>

Presiden UMNO Dalam Keadaan Baik… Jalani Kuarantin Kendiri, Bekerja Secara Dalam Talian

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklum beliau dalam keadaan baik tanpa sebarang simptom tidak diingini dan menjalani kuarantin di rumah.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam hantaran Facebooknya juga memberitahu beliau tidak mengalami demam, batuk, selesema atau apa-apa gejala lain.

“Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat walafiat dibawah lindungan Yang Maha Esa serta terhindar daripada jangkitan COVID-19 yang semakin memburuk di tanah air kita.

“Saya faham ramai tertanya-tanya mengenai keadaan saya selepas mendengar berita yang di luar jangkaan. Syukur alhamdulillah saya berada dalam keadaan baik tanpa sebarang simptom tidak diingini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya turut memaklumkan menjalani kuarantin kendiri dan bekerja seperti biasa secara dalam talian.

“Bagaimanapun iltizam saya untuk rakyat dan negara tidak akan sesekali goyah. InsyaAllah. Saya akan terus berkhidmat dengan kapasiti yang ada. Doakan saya untuk terus berjuang,” katanya lagi.

Beliau turut menyertakan sepotong doa yang bermakna: “Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikan mudah. Dan apabila Engkau berkehendak, Engkau akan menjadikan kesusahan menjadi kemudahan”

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) membuat ujian saringan yang dijalankan di Parlimen pada Khamis dan Jumaat di Dewan Rakyat sebagai langkah keselamatan dan pencegahan penularan wabak menjelang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang dijadual bermula Isnin ini. – UMNO Online

Top