..."/>

PN TERUMBANG-AMBING, RAKYAT PERLEKEH SOP SEBAGAI ‘SEMUA ORANG PENING’, KATA DAIM

PETALING JAYA: Wabak Covid-19 mendedahkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang terumbang ambing dalam melaksanakan fungsi asasnya – iaitu mentadbir negara, kata ahli politik veteran Daim Zainuddin.

Beliau berkata walaupun Malaysia mempunyai “zero political goodwill” ketika ini, “ia tidak akan menjadi isu besar jika kerajaan berfungsi dengan cekap dan mendahulukan rakyat”.

“Masalah ini diburukkan lagi apabila setiap kementerian bergerak secara bersendirian. Rakyat masih belum nampak walau satu contoh pun usaha sama membabitkan pelbagai kementerian dalam memerangi wabak ini – selain kehadiran anggota tentera di sekatan jalanraya,” kata beliau kepada FMT dalam wawancara menerusi email.

Menurut Daim, tidak ada langsung keseragaman dalam mengorak hala tuju memerangi Covid-19.

Contoh paling jelas, kata beliau, ialah kegagalan menyediakan sambungan internet yang stabil dan menangani masalah pembelajaran dari rumah untuk pelajar.

“Mengapa kementerian dan agensi komunikasi dan multimedia tidak duduk bersama Kementerian Pendidikan mencari jalan menyelesaikan masalah sambungan internet untuk pelajar yang dipaksa belajar dalam talian?

“Pelajar merasakan mereka diabaikan oleh kerajaaan, sesungguhnya mereka berhak berasa demikian,” kata Daim.

Beliau berkata rakyat ketika ini merasa terabai oleh kerajaan dalam mengharungi wabak Covid-19.

Sehingga semalam Malaysia mencatatkan 264,269 kes dengan 965 kematian. Negara diletakkan dalam darurat namun kebanyakan aktiviti ekonomi serta kegiatan riadah tertentu dibenarkan.

Kata Daim, pengumuman yang dibuat menteri malah perdana menteri, tidak memberi keyakinan dan orang ramai tidak mengikutinya lagi.

“Orang ramai sudah tidak melekat di depan kaca TV untuk mengikuti sidang media setiap petang.

“Tidak siapa yang ambil tahu mengenai SOP yang kerap berubah, mahupun angka jangkitan atau nama kluster yang tidak membantu (keadaan mereka),” kata Daim.

Sebaliknya, kata Daim, yang rakyat ingin tahu ialah apa kerajaan buat dalam menangani wabak Covid-19.

Daim berkata ramai daripada anggota Jemaah Menteri belum tampil menyatakan apa dilakukan oleh kementerian mereka untuk membantu rakyat.

Daim berkata, hanya segelintir menteri bersuara tetapi pengumuman mereka hanya menambahkan kekeliruan dan memburukkan lagi keadaan.

“Rakyat berkata mereka keliru, tidak jelas sehingga SOP yang berubah-ubah membawa erti ‘Semua Orang Pening’,” kata beliau.

“Keputusan-keputusan kerajaan sehingga kini tidak masuk akal kerana ia dibuat bukan berpandukan sains,” kata Daim, merujuk kepada tindakan mengurangkan tempoh pemantauan menteri kepada hanya tiga hari.

“Di mana penjelasan atau sokongan saintifiknya untuk buat keputusan seperti itu? Apa yang rakyat nampak ialah penguatkuasaan undang udang dua darjat – lain untuk rakyat lain untuk orang berkedudukan tinggi,” kata Daim.

Sambil membidas keputusan itu, Daim berkata meskipun “masyarakat kita feudal, virus tidak kira itu semua – kerana ia tidak mendiskriminasi sama ada seseorang itu menteri atau bukan”.

Kata beliau, rakyat memahami perlunya ekonomi dibuka tetapi ini hanya boleh dicapai dengan menangani wabak Covid-19 secara berkesan.

“(Harus) ada dasar yang betul berhubung wabak Covid-19 dan ekonomi yang bertambah baik akan menyusul. Kalau dasar wabak salah, ekonomi akan sengsara dan tidak akan pulih,” kata beliau.

Katanya, kerajaan dengan bangga mengumumkan berbillion billion ringgit namun rakyat, secara umum, masih tidak dapat manfaatnya dan terus ditimpa kesusahan .

Beliau berkata langkah membenarkan simpanan KWSP tidak boleh dianggap bantuan kerajaan kerana itu duit rakyat sendiri.

Bagi Daim, rakyat sudah membuat kesimpulan bahawa kerajaan sama ada tidak ada perancangan, atau komunikasinya sangat buruk sehingga ia tidak peduli dan tidak dengar rintihan rakyat .

“Banyak cadangan sudah dibuat oleh pembangkang, ketua industri, pakar kesihatan, NGO malah rakyat biasa – tetapi mereka merungut kerajaan tidak mahu dengar.

“Sehingga apabila perdana menteri membuat pengumuman khas, ia tidak menepati sasaran dan tidak menyentuh isu yang dibangkitkan oleh industri yang menderita semasa wabak ini,” kata Daim.

Beliau berkata keadaan dirumitkan lagi dengan pembangkang, yang tidak berupaya memainkan peranannya dalam memerangi Covid-19.

“Mereka (Pakatan Harapan) pernah menjadi kerajaan walupun untuk hanya 22 bulan. Setiap bekas menteri boleh menjadi menteri bayangan bagi memantau portfolio yang masing-masing dipegang mereka dulu.”

Daim bagaimanapun, menamakan bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, yang kini mengetuai pasukan petugas Covid-19 Selangor, sebagai antara yang melaksanakan tanggungjawab memerangi wabak itu.

Namun, secara keseluruhan, Daim berkata, rakyat “putus asa” dan bosan terhadap politik kerana tidak nampak kerajaan ataupun pembangkang tahu bagaimana menangani wabak ini.

Pun begitu, menurut Daim, rakyat tetap mahu darurat tamat sebelum 1 Ogos.

Mereka mahu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bersidang semula supaya wakil yang mereka pilih boleh menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan, kata beliau.

Sumber : Free Malaysia Today

Top