..."/>

Perutusan sempena UMNO 70 tahun YAB Dato’ Mohamed Khaled Nordin Menteri Besar Johor Merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor

UMNO diasaskan 70 tahun dahulu dengan hanya satu tujuan, iatu menjadi wadah politik untuk menambaihbaik kedudukan, pengaruh dan kelangsungan bangsa Malayu.

Kepada pendiri bangsa, inilah satu-satunya aspirasi politik UMNO, iaitu memperjuangkan Melayu dan kepentingannya. Bagi mereka, tiada yang lebih penting, lebih mulia dan lebih berharga selain mencipta sebuah bangsa yang mandiri, berkemajuan dan berguna pada tanahair.

Malah pada pendiri bangsa, perjuangan untuk kebaikan bangsa adalah juga tuntutan agama. Kedua-duanya adalah kutub yang tidak terpisah, malah saling menguatkan.

Lalu telah mereka hidupkan UMNO dengan keringat, dengan darah, dengan airmata dan dengan segala pengorbanan yang selayaknya sehingga UMNO menjadi pergerakan politik moden dan berjaya.

Setelah 70 tahun, generasi pewaris UMNO berjaya menggalas amanah ini dan mendepaninya dengan bijaksana.

Tidak ada siapa yang boleh menafikan bahawa UMNO adalah pacuan sebenar yang membina Malaysia yang sangat bersatu padu dan berjaya. UMNO lah yang menerajui kelahiran Malaysia yang progresif, berdaya saing, moden dan berperwatakan global.

Sempena memperingati 70 tahun kelahirannya, saya ingin mengajak semua yang mengasihi UMNO dan perjuangannya, gigih berusaha, menjelmakan harapan baharu untuk perjuangan paling mulia ini.

Marilah kita menumpahkan keringat, masa dan ikhtiar kita untuk mencipta masa depan yang lebih baik bagi UMNO agar ia kekal menjadi instutusi terbaik bangsa Melayu.

Dan kita harus melakukannya secara kolektif. Satu parti, satu perjuangan, satu bangsa, semuanya saling mendukung, erat dan mengukuhkan.

Akhirnya, marilah kita memohon pada Ilahi, agar memulihara UMNO dan mengizinkan ia dipimpin oleh mereka yang terbaik agar akan tercipta dan terzahir darinya, segala pencerahan untuk bangsa Melayu dan Malaysia tercinta.

Cintailah UMNO, yakinilah ia dan perjuangkanlah!

Selamat Ulang Tahun ke 70 partiku!

MOHAMED KHALED NORDIN
10 MEI 2016

Top