Perdana Menteri Perlu Terima Hakikat Darurat Gagal, Buang Masa Rakyat Dan Perniaga, Jangan Berdalih Lagi

  1. Ketika Sesi Mesyuarat Khas Parlimen berlangsung semalam di sebelah pagi, Menteri Undang-Undang secara tiba-tiba dan tidak semena-mena mengisytiharkan bahawa semua enam Ordinan Darurat yang telah diluluskan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini di’revoke’ atau telah dibatalkan pada 21 Julai lalu dan Kerajaan TIDAK akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk meneruskan Proklamasi Darurat.
  2. Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor tidak memahami apa tujuan kenyataan Menteri Undang-undang menyatakan sedemikian yang akhirnya mengundang pelbagai persoalan, kekeliruan dan kecurigaan, malah dikecam hebat warga netizen termasuk juga pengamal undang-undang yang menyifatkan apa yang dituturkan Menteri berkenaan sebagai satu ‘penghinaan’ dan ‘pencabulan’ terhadap Parlimen serta Rakyat Malaysia secara keseluruhan.
  3. Persoalan paling utama daripada kenyataan Menteri Undang-undang ini, apakah yang berlaku dengan keputusan atau penguatkuasaan yang dibuat berdasarkan Ordinan Darurat selepas tarikh backdated pembatalan itu pada 21 Julai lalu? Ini memberi satu implikasi perundangan yang besar dan mana mungkin kerajaan tidak sedar perkara ini? Ini bukan satu perkara yang boleh dibuat main sesuka hati.
  4. UMNO tidak mempersoalkan mengapa Ordinan Darurat ini dibatalkan, malah Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor bersetuju dan menyambut baik Ordninan Darurat ini dibatalkan, tetapi mestilah dengan cara yang betul dan dimaklumkan secara rasmi kepada semua pihak sebelum pengumuman seperti itu dibuat.
  5. Apa yang paling utama, pembatalan Ordinan Darurat itu pada masa yang sama memberikan gambaran atau penjelasan bahawa Pengisytiharan Darurat sebelum ini yang dilaksanakan sejak 13 Januari lalu sehingga bakal tamat beberapa hari lagi ini adalah gagal dan tidak memberi sebarang impak terutama dalam menentang pandemik Covid-19.
  6. Contoh paling jelas, ketika dalam tempoh Darurat bilangan kes tidak menunjukkan penurunan langsung, malah meningkat secara mendadak sehingga mencecah hampir 18,000 kes sehari, berbanding dengan tempoh sebelum Darurat dilaksanakan. Ini satu contoh jelas dan mudah Darurat bukan satu langkah terbaik mengawal jangkitan Covid-19.
  7. Kedua, dengan adanya Darurat dan kuasa diberikan kerajaan seharusnya dapat bertindak lebih menyeluruh dengan mempergiat proses pemberian vaksin, malah dalam tempoh Darurat juga boleh mengarahkan mana-mana hospital, klinik swasta atau premis perubatan bukan kerajaan untuk dijadikan fasiliti kerajaan selain turut sama membantu mempercepatkan proses pemberian vaksin.
  8. Walaupun dengan Darurat, kerajaan masih takut mengarahkan penutupan kilang besar, mengarahkan bank membantu rakyat dengan memberikan moratorium tanpa syarat selain menyediakan kemudahan lain bagi meringankan peminjam, tidak ada melainkan didesak oleh pemimpin politik atau netizen di media sosial.
  9. Ternyata Pengiystiharan Darurat ini tidak langsung memberi kelebihan pada mana-mana pihak, tetapi beri mudarat kepada rakyat dan ekonomi secara keseluruhannya di negara ini. Melainkan ia memberi kelebihan dan ‘nyawa’ kepada pihak Eksekutif untuk terus ‘bernafas’ dan mengambil gaji mereka yang lumayan.
  10. Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor mendesak Menteri Undang-Undang untuk menjelaskan situasi terkini mengenai penguatkuasaan Ordinan Darurat dengan sejelas-jelasnya selepas menimbulkan pelbagai persoalan dan rasa tidak senang rakyat dengan kenyataan diberikan beliau pada Mesyuarat Khas Parlimen pagi tadi.
  11. Pergerakan Pemuda UMNO sekali lagi menegaskan untuk seiring dengan keputusan dan pendirian Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang sejak dari awal membantah dan tidak pernah bersetuju dengan Proklamasi Darurat sehingga mendesak Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja untuk campur tangan dalam isu ini.

MOHD HAIRI MAD SHAH
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN JOHOR BAHRU MERANGKAP KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO NEGERI JOHOR.

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top