..."/>

PENURUNAN HARGA MINYAK TIDAK MENGGUGAT PENGERANG

ISKANDAR PUTERI, 17 April- Penurunan harga minyak dunia tidak menggugat kerancakkan pembangunan di Pengerang.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata, ia dapat dibuktikan dengan komitmen penuh Petronas melalui pengoperasian kilang pemprosesan minyak RAPID yang dijangka akan bermula pada suku pertama 2019 seperti dijadualkan.

Beliau berkata, penurunan harga minyak global ini menjejaskan sektor huluan industri berkenaan.

“Penurunan harga minyak global lebih dirasai kepada rantaian nilai tenaga ke atas sektor huluan industri minyak dan gas yang melibatkan kerja-kerja seperti eksplorasi, cari gali dan sebagainya.

“Ini tidak memberi kesan kepada Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) kerana projek yang direncana masih berjalan mengikut jadual yang direncanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bersekali (BN) Jorak, Datuk Dr Shahruddin Bin Salleh dan (PAS) Sungai Abong, Dr Sheikh Ibrahim Salleh pada Penggal Persidangan ke-4 Dewan Negeri Johor ke-13 di sini hari ini.

Menjawab soalan tambahan Sungai Abong berkenaan kemungkinan berlakunya penangguhan projek atau pemotongan pelaburan oleh Petronas akibat kegawatan ekonomi, Mohamed Khaled berkata, Petronas memberi jaminan akan terus melaksanakan projek berkenaan seperti yang dijanjikan.

“Jaminan Petronas kepada Kerajaan Negeri ialah ia akan terus melaksanakan projek ini seperti yang telah dijanjikan; ia akan beroperasi pada 2019,” katanya.

Beliau berkata, apa sahaja perbincangan melibatkan pelaburan di Pengerang akan dilakukan oleh Petronas sendiri.

“Petronas, kita percaya akan berunding bukan sahaja dengan satu syarikat tetapi beberapa syarikat jadi bermakna kalau satu tidak berjaya akan ada yang lain bersedia menunggu untuk melabur di kawasan itu.

“Sebagai contoh semasa lawatan pelaburan saya ke Jepun, banyak syarikat-syarikat di Jepun yang ingin melabur di Pengerang tetapi mereka ingin kepastian untuk mendapat bekalan hasil daripada projek Petronas di situ,” katanya.

Menjawab soalan tambahan (DAP) Mengkibol, Tan Hong Pin, berkenaan relevan dan manfaat projek berkenaan dibandingkan dengan situasi ekonomi masa kini serta impak alam sekitarnya, Mohamed Khaled berkata, sememangnya banyak manfaat dan kesan projek berkenaan kepada Negara amnya dan Johor khasnya.

Beliau berkata, apabila siap kelak, PIPC dijangka akan menyumbang sebanyak RM18.3 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (KDNK) Negara pada tahun 2020 selain merangsang industri pertengahan dan hiliran dalam bidang itu, menjadikan Pengerang sebagai hab minyak serantau serta mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan.

“Dari segi KDNK ia akan menyumbang sebanyak RM18.3 bilion pada tahun 2020. Selain daripada itu, kita akan meyaksikan pertumbuhan aktiviti midstream dan hiliran iaitu melalui pelbagai aktiviti sokongan seperti rangkaian logistik, keperluan prasarana di pelabuhan, aktiviti pembersihan dan selenggara serta pelbagai lagi aktiviti sokongan yang akan menjadikan PIPC lebih cekap, lengkap dan berkesan.

“Kesan siapnya PIPC ini, ia boleh menghasilkan sinergi antara Malaysia dan Singapura membentuk hab minyak serantau dengan kapasiti 10 juta meter padu. Ini tidak termasuk menyediakan peluang pekerjaan yang besar iaitu 50,000 pekerjaan di peringkat pembinaan, selain 4,000 pekerja sepenuh masa dalam fasa operasi dan 5,000 anggota sokongan dalam sektor perkhidmatan apabila PIPC itu siap kelak,” katanya.

Tambah beliau lagi, projek itu membolehkan kemudahan infrastruktur di Pengerang dipertingkatkan.

“Kerajaan persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM2.49 bilion dalam menyediakan kemudahan prasarana awam dan infrastruktur di Pengerang.

“Jadi apa lagi hendak cakap? Memang ada kesan dan manfaat dalam kita menjayakan projek tersebut,” katanya.

“Ini minta pembangkang catit supaya dapat dihebahkan kepada semua yang dengar ceramah.”

Jauhar

Top