..."/>

Pendirian UMNO Konsisten Sokong PM Kemudi Negara… Kerajaan, Parti Saling Melengkapi – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO tetap pada pendiriannya iaitu menyokong pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang bermakna menyerahkan kebijaksanaan kepada beliau dalam membuat keputusan yang dirasakan sesuai dalam mengemudi pentadbiran negara.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian berikutan menerima banyak pertanyaan, bahkan sempat membaca pelbagai komen bertanyakan mengenai apakah pendirian UMNO dalam pembentukan Jemaah Menteri dan pelantikan mantan Perdana Menteri sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri.

“Parti telah membuat pendirian menyokong perlantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri. Ini bermakna, parti menyerahkan kebijaksanaan kepada beliau sebagai Perdana Menteri dalam membuat keputusan atau kebijakan-kebijakan yang beliau rasakan sesuai dalam mengemudi pentadbiran negara.

“Pendirian parti ini juga boleh ditakwilkan bahawa Perdana Menteri yang mengetuai Kerajaan hari ini mempunyai kuasa-kuasa Perlembagaan dan sehubungan itu, menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan Kerajaan dapat berfungsi dengan baik dan tidak mengulangi kesilapan-kesilapan Kerajaan terdahulu,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya, hari ini.

Jelasnya, UMNO konsisten dalam pendiriannya dan telah pun memberikan sokongan kepada Perdana Menteri.

“Bagi pihak parti, saya akan memastikan kita akan terus menjadi mata, telinga dan suara rakyat dalam menyentuh soal-soal kesejahteraan mereka dan kemakmuran negara.

“Inilah semangat dan prinsip demokrasi yang wajar kita suburkan. Kerajaan ada peranan dan tanggungjawabnya dalam memenuhi keperluan rakyat. Parti pula akan terus berperanan sebagai kuasa pengimbang yang sentiasa bergerak senafas dengan rakyat.

“Selaku Ketua Parti, saya akan terus berusaha memperkasakan UMNO selaras dengan mandat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan Majlis Kerja Tertinggi. Fokus kita tidak pernah lari daripada untuk terus berusaha memantapkan perjalanan parti khususnya dalam persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ujar Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, dua mandat besar akar umbi yang diamanahkan kepada beliau dan barisan pengemudi parti melalui ketetapan PAU dan MKT termasuklah:

Pertamanya, Kerajaan hari ini hanyalah bersifat sementara selagi mana tidak memiliki mandat mutlak rakyat. Justeru sebagaimana diputuskan dalam MKT lepas dan berpedomankan Titah saranan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, apabila pandemik COVID-19 mulai berakhir dan setelah imuniti kelompok (herd immunity) dicapai, maka Pilihan Raya Umum Ke-15 perlulah diadakan bagi membolehkan mandat mutlak diperolehi untuk membentuk sebuah Kerajaan yang stabil dan dipilih oleh rakyat.

Keduanya, kehendak akar umbi yang menghendaki agar kerusi-kerusi tradisi UMNO dan kerusi-kerusi yang dikhianati setelah diamanahkan oleh rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional pada PRU-14 lalu tidak boleh sesekali dikompromikan dan mesti diambil kembali untuk ditandingi. Ini termasuklah ketetapan PAU yang membataskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya setelah parlimen dibubarkan untuk PRU-15 yang akan datang.

Sehubungan itu katanya, untuk tempoh enam hingga tujuh bulan akan datang sehinggalah pandemik mulai reda, Kerajaan dan parti akan saling lengkap-melengkapi dan bergerak seiring dengan memfokuskan peranan masing-masing.

“Kerajaan fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat yang amat meruncing ketika ini. Manakala UMNO sebagai parti perlu menjadi suara pengimbang mewakili denyut nadi rakyat selain fokus memperkasa agenda pemantapan parti untuk menghadapi PRU-15 bagi memperoleh kembali kepercayaan dan mandat rakyat.”

Ujarnya, terlalu banyak hikmah Allah takdirkan UMNO hilang kuasa pada PRU lalu untuk kita muhasabahkan.

“Salah satunya ialah nilai kesetiaan kepada parti yang terlalu besar harganya yang menjadi penentu dan fitrah kelangsungan sebuah perjuangan.

“Kepada Allah jualah kita berserah dan mengharapkan petunjuk demi meneruskan agenda perjuangan untuk membela rakyat dan mensejahterakan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Top