..."/>

Pemuda UMNO Teruskan ‘Follow-Up’ Untuk Tuntutan Rakyat Jadi Realiti – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Pemuda UMNO akan terus membuat tindakan susulan bagi memastikan isu-isu yang dibangkitkan oleh rakyat dan dirumuskan oleh Pemuda UMNO sebelum ini dalam bentuk sepuluh tuntutan rakyat direalisasikan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan beliau sudah menyampaikan rintihan rakyat yang rata-rata amat tertekan dan terdesak ketika ini kepada Perdana Menteri malam tadi terutamanya berkenaan dengan isu kelewatan Bantuan Khas COVID (BKC) yang sepatutnya sudah mula dikreditkan ke akaun penerima pada bulan Ogos.

“Alhamdulillah YAB PM jawab dengan positif dan beri jaminan akan segera menghubungi Kementerian Kewangan untuk diambil tindakan segera.

“Insya-Allah sembilan lagi tuntutan rakyat yang lain akan saya perjelaskan secara terperinci sekali lagi kepada YAB PM setelah dibentuk kabinet,” katanya menerusi laman facebooknya, hari ini.

Hakikatnya, tegas Dr Asyraf, isu-isu yang dibangkitkan oleh rakyat dan dirumuskan oleh Pemuda UMNO sebelum ini dalam bentuk 10 tuntutan rakyat sebenarnya tidak sukar untuk direalisasikan.

“Dua daripadanya berkaitan dengan moratorium tanpa faedah terakru, hanya perlu diseragamkan kaedah penawaran dan metodologi pengiraan keuntungan dan faedah oleh bank-bank, dengan kawal selia Bank Negara Malaysia.

“Manakala cadangan pengeluaran i-Citra secara sekaligus dengan kadar minimum RM10 ribu atau berkadaran dengan jumlah yang ada dalam Akaun 1 dan Akaun 2, perlu dirundingi semula dengan pihak KWSP.”

Jelasnya, lapan tuntutan yang lain adalah di bawah kuasa Kementerian Kewangan termasuklah tuntutan agar ditawarkan juga moratorium untuk peminjam LPPSA, tambahan bantuan-bantuan tunai lain melalui suntikan fiskal termasuk untuk peniaga kecil dan sederhana, penambahbaikan data pemohon di LHDN untuk tujuan pemberian bantuan, juga tuntutan agar dikurangkan karenah birokrasi ketika rakyat melalui proses rayuan dan lain-lain.

“Pemuda UMNO akan terus membuat tindakan susulan untuk ‘follow-up’ dan ‘follow-through’ sehinggalah segala tuntutan ini dapat dipenuhi bagi manfaat rakyat yang memang susah, gelisah dan tertekan dengan kesempitan dan kelangsungan hidup mereka ketika ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Top