..."/>

PEMUDA UMNO PASIR GUDANG SEPAKAT TOLAK PERIKATAN NASIONAL

Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang bagi tahun 2020 yang berlangsung pada Jumaat, 1hb Januari 2021 juga telah meluluskan beberapa usul.

Usul-usul yang telah diluluskan secara sebulat suara setelah dibahaskan oleh para perwakilan dari Pemuda UMNO Cawangan antara lain: –

1. Pertama. Menggesa Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) agar segera menarik sokongan mereka daripada menjadi sebahagian kerajaan Perikatan Nasional (PN). Ini bagi membolehkan Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) dapat diadakan dalam masa terdekat.

Gesaan ini dibuat bagi mengembalikan kestabilan dan kepastian dalam kerajaan serta perjalanan pentadbiran negara, lebih-lebih lagi dalam menguruskan negara berdepan dengan krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Kerajaan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dilihat gagal memberikan kestabilan politik dan kepastian dalam tadbir urus negara. Sekaligus merencatkan semua usaha untuk memulihkan negara pasca krisis.Jalan keluar yang terbaik hanyalah dengan membubarkan Parlimen dan menyerahkan semula mandat kepada RAKYAT untuk membuat pilihan terbaik melalui proses demokrasi.

2. Kedua. Menggesa agar kesemua kerusi dalam Parlimen Pasir Gudang ditandingi oleh wakil-wakil dari UMNO dan Barisan Nasional. Baik bagi kerusi Parlimen Pasir Gudang, DUN Johor Jaya dan DUN Permas.

PPBM akan cuba menuntut kerusi DUN Permas sebagai milik mereka. Namun, satu perkara yang PPBM perlu ingat ialah PPBM menang dalam PRU-14 ketika mereka menjadi sebahagian Pakatan Harapan (PH). Ketika itu PPBM juga bertanding menggunakan logo PKR, dan bukan logo mereka sendiri.

Beberapa siri Pilihanraya Kecil (PRK) membuktikan PPBM bukanlah sebuah parti yang kuat dan tidak diminati rakyat. Mereka gagal mempertahankan kerusi milik mereka dalam PRK DUN Semenyih (tewas kepada calon UMNO). PRK Parlimen Tanjung Piai menjadi saksi betapa lemah dan hinanya PPBM apabila tewas dengan sebegitu teruk dengan calon BN dari parti MCA.

Apatah lagi apabila ADUN Permas sendiri ditolak oleh perwakilan dari partinya sendiri yang tak seberapa, apabila tewas dalam pemilihan parti.

Terima kasih dan tahniah kepada semua pencadang dan pembahas yang telah membawa usul Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang dengan baik dan jayanya.

Moga-moga usul dari Pemuda Pasir Gudang ini akan menjadi panduan dan pedoman bagi pucuk pimpinan dalam menentukan hala tuju dan masa depan parti seterusnya.

Noor Azleen Ambros
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang

Top