..."/>

Parti Dominan Tidak Lagi Sesuai? Muhyiddin Semakin Keliru Dan Lupa – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin nampaknya semakin keliru semenjak tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan tewasnya Perikatan Nasional (PN) di Melaka, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Tegasnya, masakan boleh diterima hujah Muhyiddin bahawa sistem parti politik yang dominan itu tidak lagi sesuai yang mana katanya ia merbahaya kerana pemusatan kuasa adalah pada individu dan bukannya parti.

“Agaknya beliau lupa bahawa beliau tersingkir dari jawatan Perdana Menteri kerana PPBM itu tidak dominan dalam Kerajaan PN. Kerana parti beliau PPBM itu kecillah maka kerajaan pimpinan beliau begitu mudah sekali tersungkur.

“Atau mungkin beliau tidak ingat bahawa kestidakstabilan politik yang Malaysia alami selama 42 bulan lepas ialah kerana tiadanya parti terbesar dan dominan dalam membentuk kerajaan. Sehingga berlakunya tragedi puluhan Ahli Parlimen lompat-melompat parti demi memperdagangkan kedudukan mereka bagi membentuk kerajaan.

“Malaysia tidak pernah menyaksikan episod khianat mandat rakyat dalam magnitud sedemikian. Hanya semenjak PPBM menjadi kerajaan dalam PH (Pakatan Harapan) dan PN, budaya politik curang itu menjadi kelaziman,” tegasnya dalam satu catatan menerusi Facebooknya.

Atau kata Khaled, Muhyiddin juga tidak lagi boleh membezakan bahawa Malaysia ini adalah sebuah demokrasi ala Westminster.

“Maknanya hanya parti terbesar dan terkuat dijemput untuk membentuk kerajaan. Di seluruh dunia, pergerakan politik kepartian bertungkus-lumus untuk memenangi pilihan raya dengan kerusi terbanyak.

“Hanya dengan kerusi terbanyak, Kerajaan majoriti dapat dibentuk. Dengan majoriti yang selesa, kerajaan boleh fokus dengan membangun negara dan bukannya menyelamatkan kuasa,” katanya.

Justeru ulas Khaled, di dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang semua akan melihat berapa banyak kerusi yang akan PPBM tandingi.

“Dalam PRU-14 mereka menang hanya 13 kerusi sahaja tetapi pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri. Mungkin kerana itu, PPBM selesa untuk hanya menjadi parti kecil tetapi memerlukan nyawa dari UMNO.

“Insya-Allah dalam PRU akan datang, UMNO akan menjadi parti dominan dan mengembalikan demokrasi ala Westminster yang sebenarnya kepada Malaysia,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

Top