..."/>

NGO disaran untuk membantu mendidik orang ramai belanja dengan hemat

JOHOR BAHRU 22 Jan: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini disaran membantu kerajaan untuk mendidik dan menggalakkan orang ramai mengamalkan perbelanjaan berhemat.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, NGO terutama persatuan pengguna juga diharap dapat membantu memberi kesedaran tentang aspek itu kerana mampu mempengaruhi corak perbelanjaan isi rumah serta pengguna.

Menurutnya, usaha itu boleh dibuat menerusi pelbagai program seperti kempen hebahan supaya dapat dikongsi bersama.

“Kerajaan negeri akan mengikuti perkembangan persatuan pengguna yang ada di negeri ini dan mereka yang aktif serta sering menganjurkan program kepenggunaan akan diberi dorongan dan bantuan yang sewajarnya.

“Yang penting dan perlu diutamakan adalah pengguna,” katanya dalam Majlis Penyampaian Anugerah Program Pengiktirafan Medan Selera Pilihan Pengguna 2013 di Dewan Sangkar Kristal, di sini semalam.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan hadiah kepada medan selera terbaik iaitu Sri Stulang, Tepian Tebrau dan Atap Berlian Hutan Bandar yang membawa pulang hadiah dalam bentuk peruntukan pembangunan berjumlah RM25,000 setiap satu.

Dalam pada itu, YAB turut memuji program dianjurkan Persatuan Penggerak Pengguna Johor (PPPJ) yang berjaya mewujudkan kerjasama baik antara NGO dengan agensi kerajaan pada masa akan datang.

“Saya berharap dengan pengiktirafan yang diterima akan menjadi motivasi dan tekad bagi penerima meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan untuk kesejahteraan para pelanggan,” katanya.

Top