..."/>

Khazanah Alam Terus Dipelihara MB Johor

Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC), meramalkan suhu dunia akan meningkat dari 1.1 darjah selsius, kepada 6.4 selsius bagi tempoh di antara 1990 dan 2100. Peningkatan ini datang bersama risiko yang besar.  Banjir besar jadi kelaziman. Begitu juga taburan hujan luar jangka. Suhu berubah secara konsisten.  Ancaman kemarau, wabak penyakit, kemiskinan, semuanya senada dengan perubahan iklim.  Menjelang tahun 2085, dijangka 25-40 peratus spesis flora dan fauna global,  dijangka kehilangan habitat atau pupus akibat pemanasan global. Maka kerana itulah saya mengambil keputusan untuk melakukan tanggungjawab saya, pada hari ini.  Menghantar mesej yang jelas, meyakinkan seluruh masyarakat Johor, bahawa kita ada peranan untuk memperbetulkan semua ini.  Dan kita perlu lakukannya dengan penuh tekad, penuh konsisten dan komitmen padu.

Kita mesti lakukan kerana tanah lembap bukan sekadar khazanah alam sekitar. Ianya sangat penting untuk kelangsungan kehidupan kita.  Ianya ekotone – zon perantara di antara komuniti yang mendiami dataran dan kawasan akuatik. Paya bakau, dataran lumpur, paya air tawar, tanah gambut serta sungai adalah elemen pengimbang dalam ekosistem manusia dan pelbagai makhluk Tuhan yang kompleks. ​Ianya bersifat produktif. Baik eko-sistemnya, mahupun juga peranannya kepada ekonomi, kepada masyarakat.  Ianya bernilai kerana sebagai  sumber bekalan air.  Ianya zon penampan terhadap hakisan, pencemaran, hempasan ribut taufan dan ombak besar. Jadi benteng musibah banjir. Jadi penstabil cuaca dan iklim. Jadi penambat sedimen dan nutrien. Jadi cagar alam kepada margasatwa, tanah kehijauan flora dan fauna. Di sini jugalah arena kita berekreasi, melancong, menyelidik dan mendidik. Di sini juga dapat kita telusuri kehidupan dan budaya sebahagian dari kita, yang memilih kawasan ini sebagai sebahagian dari alam kehidupan mereka. Di sini anak-anak kita boleh berlari bermain lumpur, menangguk belacak, mengutip siput, ketam dan teritip.

Kita bertuah, kerana Johor dikelilingi hutan bakau saujana mata memandang. Dengan keluasan menghampiri 25,000 hektar (24,747 hektar), ianya antara rantaian ekosistem bakau yang terbesar di negara ini. Sungguhpun begitu, sejak beberapa dekad yang lalu, kita telah saksikan hutan-hutan bakau yang kita miliki ini terkesan kerana hakisan semulajadi. Dalam setahun, 8 hingga 12 meter pokok bakau ini terjejas akibat hakisan. Taman Negara Johor di Tanjung Piai, sebagai contoh, antara yang menerima tamparan hakisan ini. Selain arus ombak yang kuat, pelayaran ribuan armada kapal serta tumpahan minyak darinya, makin memburukkan lagi keadaan. ​Lantaran itu, ikhtiar kita mesti konsisten untuk memastikan kawasan tanah lembap ini terus terpelihara. Dan kita mesti bersungguh Menggunakan apa jua cara, apa jua strategi, untuk memastikan tanah lembap dan hutan bakau Johor, menjadi khazanah paling bernilai Johor untuk manusiawi.

Di Johor, kita telah melakukannya dan akan terus memperkukuhkan usaha-usaha ini.  Melalui undang-undang,  telah kita wartakan  Hutan Simpan Sungai Pulai antaranya, sebagai kawasan hutan simpan paya bakau semenjak 1923.  Usia wartanya pun sudah menjangkau 92 tahun. Melalui, pemeteraian RAMSAR ke atas Hutan Simpan Sungai Pulai, Tanjung Piai dan Pulau Kukup pada 2003, Johor mempunyai 3 daripada 5  Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa di Malaysia. Semua ini adalah endorsemen antarabangsa ke atas komitmen kita memulihara tanah lembap. Tidak cukup dengan pendekatan undang-undang, kita bangunkan prasarana untuk menangani kesan hakisan persisiran pantai negeri ini. Menjelang awal tahun depan, kita jangkakan 800 meter pemecah ombak, 550 meter benteng batu, dan 5,700 meterpeninggian ban mampu mendepani hempasan hakisan di persisiran pantai di Johor.

Projek kawalseliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ini membabitkan perbelanjaan berjumlah RM25.8 juta. Laporan terkini, projek berkenaan sudah 60% siap, 40% lebih awal dari yang terjadual. Itu projek penampan hakisan pantai Fasa 1.  Manakala, dalam Fasa 2, kita telah mulakan pembinaan 3 pemecah ombak yang dijangka siap penghujung tahun depan. Dengan kos melibatkan RM39 juta, projek ini dijalankan di bawah pemantauan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA). Selain itu, bagi menguatkan lagi kerjasama di antara Perbadanan Taman Negara Johor dan Jabatan Laut Malaysia, keputusan telah dibuat untuk mewujudkan Particularly Sensitive Sea Area, ringkasnya PSSA, bagi kawasan perairan Pulau Kukup sehingga ke Tanjung Piai. Ini juga akan bermula tahun depan.

Semua strategi ini dijangka dapat mengurangkan impak daripada aktiviti perkapalan yang boleh menjejaskan ekologi, sosio-ekonomi dan kepentingan saintifik kawasan tanah lembap di Johor. Dan bagi memastikan kelangsungan hidupan bakau, Program Penanaman Pokok Bakau, yang mula dilancarkan di bawah Rancangan Malaysia ke-9 akan terus digiatkan. Semenjak 2005, sambutan yang diterima ke atas program membuahkan hasil yang baik.  Setiap tahun, 1,000 pokok ditanam di Tanjung Piai dan Pulau Kukup.  Dan dengan kerjsama, pihak swasta, saya difahamkan sehingga 10,000 anak bakau telah didermakan untuk ditanam di kawasan ini.

Namun semua usaha ini mesti dilipat gandakan. Dipelbagaikan. Didukung oleh semua pihak. Kerajaan, rakyat, pergerakan sivil, kumpulan pemodal, masyarakat antarabangsa.  Maka pada hari ini, saya menganjurkan agar sebuah pergerakan sivil untuk pemuliharaan tanah lembap dapat dipertimbangkan oleh mereka yang prihatin. Mari kita tubuhkan Sahabat Tanah Lembap Untuk Johor. Mari kita bangkitkan kesedaran masyarakat untuk tanah lembap. Mari kita mendidik anak dan generasi muda menerusi program kesedaran dan pelbagai aktiviti konservensi alam sekitar. Ajak anak-anak kita, mahasiswa kita, belia kita dan siapa jua, membantu dengan sukarela, menyemai anak-anak benih bakau, membersih persekitaran bakau, menjadi jurutunjuk dan jurumudi armada kecil di sungai, dan mengemaskini kemudahan-kemudahan awam. Ketika pembentangan bajet  negeri Johor yang lalu, saya telah nyatakan sasaran Kerajaan Negeri Johor ke atas lima produk pelancongan berkepentingan global menjelang tahun 2017. Ianya sedang diperhalusi dan kita jangkakan usaha ini akan dapat memartabatkan lagi tapak-tapak RAMSAR di Johor sebagai tapak rekreasi dan penyelidikan paya bakau berkepentingan antarabangsa yang mesti dilawati.

Komitmen saya dan seluruh pentadbiran Kerajaan Negeri Johor untuk menjadikan Johor dan lingkungannya, dibangunkan secara lestari.  Dan untuk pemuliharaan alam sekitar, kita tiada Plan B. Kita hanya satu pelan. Ia akan terus dipulihara. Khazanah alam sekitar Johor, akan kita jadikan hadiah terbaik Johor untuk manusiawi. Saya percaya, saya tidak bersendirian di dalam usaha ini. Maka bantulah saya. Bantulah Kerajaan Negeri. Melalui dukungan semua, kita mampu melakukannya, demi pemeliharaan khazanah yang amat bernilai ini. Dan yakinlah, hanya melalui muafakat, melalui perkongsian kepakaran, kesepakatan usaha dan kebulatan tekad sahaja yang dapat memastikan penghasilan dan pengurusan alam sekitar tak ternilai ini dapat kita kekalkan. Ibarat kata bijak pandai, kita hanya meminjam khazanah alam ini dari generasi hari muka.

Sumber : Jauhar

Top