..."/>

Kes Positif COVID-19, Kematian Semakin Melonjak: Jangan Pertaruhkan Nyawa Murid Dan Guru – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mahu nyawa murid dan guru pula dipertaruhkan selepas begitu ramai warga sektor lain dijangkiti COVID-19 kerana masih dikehendaki keluar bekerja.

Katanya, setiap guru akan diberi suntikan vaksin sebelum sekolah dibuka pada September, tetapi murid sekolah tiada perlindungan vaksin.

“Walau setiap guru telah divaksin mereka masih boleh dijangkiti dan kemudian menjangkiti murid. Begitu juga risiko berlaku jangkitan sesama murid.

“Dalam keadaan sekarang nyawa anak-anak dan guru kita menjadi keutamaan. Tiada kompromi dan tolak ansur mengenainya,” tegasnya dalam satu perkongsian di Facebook.

Ulas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga, lebih 30,000 rakyat Malaysia telah menandatangani petisyen mendesak kerajaan menangguhkan pembukaan sekolah setakat semalam.

“Mengikut perancangan kerajaan Perikatan Nasional (PN), semua sekolah akan dibuka secara berperingkat kira-kira tiga minggu dari sekarang. Pakar-pakar pendidikan malah tokoh-tokoh akademik juga meminta supaya kerajaan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan berkenaan.

“Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengeluarkan kenyataan rasmi mahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangguh pembukaan sekolah. Justifikasi mereka serupa iaitu pandemik semakin teruk amat berisiko kepada murid dan guru diarah kembali ke sekolah dalam tempoh terdekat,” katanya lagi.

Dilaporkan, setakat ini lebih 11,000 nyawa penduduk Malaysia telah terkorban dengan lebih 230,000 kes aktif jangkitan COVID-19 dikesan di seluruh negara.

Justeru Ahmad Zahid juga bersetuju dengan pendapat pakar pendidikan bahawa sekolah hanya wajar dibuka selepas pelan pemulihan pendidikan negara diwujudkan.

“Saya juga yakin ibu bapa dan penjaga tidak akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Tidak jauh bezanya seperti kilang yang dibuka dalam keadaan ‘total lockdown’ separuh masak yang diumumkan.

“Hospital penuh, ‘fronliner’ kepenatan, tiba-tiba kerajaan arah buka sekolah? Tolong fikirkan sama, adakah ini yang dikatakan tidak gagal oleh mereka? Berapa jumlah jangkitan harian?

“Lihat sahajalah video dari netizen yang saya siarkan semalam, itu juga tidak gagal di mata mereka,” bidasnya lagi.

Pelan itu katanya menjadi sumber utama kepada semua usaha dan tindakan kerajaan dalam memulihkan kembali sistem pendidikan negara yang ‘rosak teruk’.

“Dan pembukaan semula sekolah hanya selepas pelan itu diluluskan Parlimen yang akan diselaraskan dengan Bajet 2022 untuk sektor pendidikan,” katanya. – UMNO ONLINE

Top