..."/>

Kerajaan Johor Pantau Pemberian Geran, Pastikan Beri Manfaat Kepada Ahli

PASIR GUDANG, 2 Mei – Kerajaan Negeri akan memantau setiap pemberian geran yang disalurkan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan di negeri ini agar ia dapat memberi manfaat kepada setiap ahli.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata setiap tahun Kerajaan Negeri akan memperuntukkkan sejumlah RM3 juta geran tahunan kepada NGO dan persatuan terlibat.

Bagaimanapun katanya, ada di antara ahli-ahli persatuan dan NGO tidak tahu mengenai sumbangan itu, sekiranya pesatuan tidak menjalankan sebarang aktiviti yang memberi manfaat kepada mereka.

“Kita tahu banyak persatuan yang menggunakan geran tahunan itu untuk membiayai perjalanan organisasi, tetapi begitu sedikit yang menggunakan untuk anggota melalui program dan sebagainya.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri akan mengambil pendekatan untuk mengambil tahu apakah program-program yang dilaksanakan dengan menggunakan geran tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Pasir Gudang kali ke-8, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menggesa agar ahli-ahli PVATM supaya terus memberi sumbangan kepada kemajuan negeri Johor walaupun telah bersara.

Ini termasuk dalam usaha menjayakan Gagasan Johor Berkemajuan.

“Tuan-tuan dan puan-puan merupakan entiti yang penting sebagai veteran kerana gagasan ini bukan sahaja memerlukan sokongan golongan muda.

“Maka apabila kita hendak jayakan Johor Berkemajuan, sudah tentu kita perlu sokongan dan penglibatan tuan-tuan dan puan-puan,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM200,000 kepada PVATM cawangan Pasir Gudang bagi membina sebuah gelanggang terbuka untuk kegunaan masyarakat di kawasan itu.

Peruntukkan itu diberikan atas usaha PVATM yang terus menyumbang bakti mereka kepada masyarakat setempat.

Turut dirasmikan Pusat Aktiviti PVATM Cawangan Pasir Gudang.

Jauhar

Top