..."/>

Keputusan Tangguh Pemilihan Parti Sejak Feb, Jelas S/U Agung UMNO

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 19 Februari tahun ini sudahpun membuat keputusan untuk menangguhkan pemilihan UMNO.

Ini bermakna katanya, sejak bulan Februari lagi parti telah buat keputusan hasil daripada mesyuarat yang diadakan di Institut Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, Pahang itu untuk menangguhkan pemilihan dan bukan selepas 30 Jun sepertimana pemahaman pihak yang berkaitan.

Jelas Ahmad, ekoran surat pemakluman Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengenai perkara berkaitan yang dihantar pada 6 Ogos, jawapan balasnya pada 7 Ogos dan pertemuan bersama pegawai tertinggi RoS pada 11 Ogos, RoS telah meminta maklumat tambahan iaitu minit mesyuarat pada bulan Februari dan pengesahan minit mesyuarat pada Mac.

“Kemudian pada bulan Mac kami beri minit mesyuarat dan kehadiran kepada RoS. Selain daripada itu pada bulan April kita minta bertemu dengan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan juga MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan saya sendiri bertemu pada bulan Mei dapatkan pandangan. Jika boleh dibuat melalui online, jika tidak boleh, boleh ditangguhkan. Maka bulan Jun kita membuat resolusi pekeliling yang mana 51 daripada 55 ahli MKT setuju ditangguhkan.

“Kenapa kita buat resolusi pekeliling? Kerana pada bulan Jun itu keseluruhan negara ‘total lockdown’. Jadi tidak boleh buat mesyuarat bersemuka. Kemudian setelah mendapat persetujuan 51 daripada 55 persetujuan kali kedua (kali pertama pada bulan Februari), kita hantar surat pada 24 Jun, tentunya sebelum 30 Jun. Jadi, ini adalah antara penjelasan-penjelasan,” katanya kepada media di Lobi Menara Dato’ Onn di sini, Khamis.

Seterusnya tambah Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, semalam beliau telah menghantar lagi satu penjelasan kepada RoS bahawa semua ahli MKT yang telah membuat resolusi pekeliling mengesahkan kepada RoS bahawa mereka telah menerima resolusi itu daripadanya.

“…iaitu jawapan ahli-ahli MKT terhadap resolusi pekeliling itu. Jadi, surat daripada semua ahli MKT itu semua hantar satu persatu,” katanya lagi.

Justeru, bagi pihak UMNO, Ahmad berharap RoS membuat keputusan membenarkan penangguhan sebagaimana Perkara 10.1.6 Perlembagaan UMNO bahawa MKT berhak untuk menangguhkan pemilihan selama 18 bulan.

Begitu juga dengan keadaan semasa negara ekoran pandemik COVID-19 yang tentunya menyulitkan untuk mengurus perjalanan lebih 60 ribu mesyuarat apatah lagi untuk membuat pemilihan tentunya lebih sukar, ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

Top