..."/>

Kemelut Politik Berpanjangan Semenjak PRU14, Bawa Impak Kepada Ekonomi Negara

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Negara berdepan kemelut politik yang berpanjangan semenjak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata pemerhati politik Noorhajran Mohd Noor.

Jelas beliau, sepanjang tempoh tersebut rakyat dipertontonkan dengan drama politik yang tidak berkesudahan sehinggakan kesannya masih berlaku sehingga ke hari ini.

“Tidak ada dalam dunia seperti yang terjadi di negara kita pada ketika ini. Kalau kita lihat selepas pilihan raya pada 2018, sudah ada dua Perdana Menteri dan ketika ini hendak masuk Perdana Menteri yang ketiga.

“Pada mulanya memerintah 22 bulan yang keduanya 17 bulan menjadikan ianya adalah 39 bulan.

“Maknanya sudah tiga tahun kerjanya hanya berpolitik jadi membina negara ini saya tidak nampak ada keberkesanannya,” katanya.

Menurut Noorhajran lagi, keadaan ini sekaligus memberikan kesan yang tidak baik kepada ekonomi negara apatah lagi dengan krisis kesihatan yang dihadapi.

“Jadi kestabilan kerajaan itu sangat penting kita tidak boleh berterusan biarkan pertukaran kerajaan ianya memberikan impak kepada negara.

“Kalau dilihat kepada statistik ekonomi 13 peratus belia menganggur. Berdasarkan mengikut kepada statistik pengangguran 3 peratus itu adalah terlalu banyak.

“Namun pada ketika kadar pengangguran negara adalah 4.8 peratus pada Disember 2020. Kita hendak membina negara ke hadapan tidak boleh makin ke belakang sebab negara lain walaupun keadaan sama seperti kita menghadapi pandemik tetapi mereka semakin bergerak ke hadapan,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian pada program ‘Ke Mana Hala Tuju Malaysia Selepas Ini’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online malam tadi yang turut dihadiri oleh aktivis, Datuk Seri Kamal Amir.

Sementara itu, Kamal pula menganggap kejujuran dalam kepimpinan merupakan kunci utama untuk menyelesaikan pergolakan politik.

Ulas beliau, perselisihan berkenaan kepartian perlu diketepikan kerana mereka perlu memberikan tumpuan sepenuhnya untuk memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi dan kesihatan awam.

“Kejujuran adalah penting, kalau mereka ini jujur sebagai pemimpin dalam menyantuni rakyat bermakna mereka menyantuni titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Sebab YDPA begitu jelas tidak mahu lagi tawar-menawar dan sebagainya. Sekiranya wakil rakyat ini jujur dengan keadaan rakyat inilah masanya untuk ketepikan soal kepartian, pentingkan keadaan negara dahulu.

“Sebab itu perlu diwujudkan penyatuan dalam kalangan ahli Parlimen. Mereka ini perlu bersatu jadi sesiapa yang dilantik sebagai Perdana Menteri dia yang bertanggungjawab untuk menyusun semula dan ini ada bersangkut dengan pembentukan Kabinet dan sebagainya,” katanya. –UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Abd Latif

Top