..."/>

KEKAL KAMPUNG TRADISIONAL TERUSKAN AGENDA KESEJAHTERAAN RAKYAT

PASIR GUDANG, 12 Jun – Kampung Kuala Masai dalam mukim Plentong merupakan salah satu kampung tradisional yang terdapat dalam kawasan wilayah pembangunan Iskandar Malaysia, yang mana kewujudannya perlu dipelihara dan identitinya sebagai sebuah perkampungan tradisional perlu dikekalkan walaupun berdepan dengan cabaran arus pembangunan.

Perancangan ini merupakan satu lagi usaha dan sumbangan Kerajaan Negeri melalui IRDA dalam membawa agenda kesejahteraan kepada rakyat menerusi pengenalan program pembangunan sosial, khusus di kampung-kampung tradisional sekitar Iskandar Malaysia.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin mengadakan lawatan kerja ke kampung berkenaan bagi mendapatkan taklimat mengenai perancangan pembangunan Kampung Kuala Masai oleh pihak IRDA.

“Pihak IRDA akan melakukan perancangan, melalui pelbagai peringkat dan kita gabungkan dengan kampung Pasir Gudang Baru untuk menjadi satu kawasan menyeluruh bagaimana kita akan mengekal, memantap dan meningkatkan kampung-kampung tradisional dalam kawasan ini.

“Jika berjaya di kawasan ini, ia akan dikembangkan ke kawasan-kawasan lain, dengan kemungkinan satu kampung di setiap parlimen di bawah Iskandar Malaysia,” katanya pada program lawatan kerjanya ke Kampung Kuala Masai di sini, hari ini.

“Kita perlu lakukannya sebagai rancangan proaktif kerajaan dan tidak mahu menjadi reaktif. Apabila sudah terhimpit macam Kampung Baru (Kuala Lumpur) mungkin sudah terlambat dan tidak boleh hendak buat apa-apa.”

“Jadi sebelum itu berlaku, kita perlu membuat perancangan supaya dalam keadaan pembangunan di sekeliling, kampung ini masih boleh kekal berdiri megah dan penduduknya tidak terasa dihimpit dengan pembangunan.

“Selain itu, mereka juga boleh menawarkan perkhidmatan atau membantu menarik pengunjung dengan keunikan yang ada di kampung mereka,” katanya.

Hadir sama Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Md. Za’nal Misran dan Pegawai Daerah Johor Bahru, Abdul Wahab Ridwan.

Top