..."/>

KAJIAN SUMBER AIR 2010 – 2060 MAMPU TANGANI MASALAH AIR

PASIR GUDANG, 8 Mei – Kerajaan Negeri Johor berharap pelan Kajian Sumber Air Negeri Johor 2010-2060 yang dilancarkan pada tahun lalu dapat memenuhi segala keperluan air di dalam negeri terutamanya apabila berhadapan dengan musim panas.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, pelan tersebut kini dalam pertimbangan Kerajaan Pusat dan kajian tentang cara terbaik pelaksanaan infrastruktur pengairan sedang dijalankan.

“Di Johor, kita telah mempunyai perancangan jangka panjang selama 50 tahun iaitu Kajian Sumber Air Negeri Johor 2010-2060. Soalnya sekarang adalah untuk pelaksanaannya, dan kita tahu dalam hal pembangunan infrastruktur air ini, kita perlu bergantung pada Kerajaan Pusat, dan Syarikat Air Johor (SAJ) hanya berperanan mengagihkannya.

“Sekarang ini, Johor Water Forum yang saya baru lancarkan pada tahun lepas sedang dalam pertimbangan Kerajaan Pusat yang seterusnya akan menentukan cara terbaik bagi melaksanakan pelan tersebut. Kita berharap kalau kita dapat buat perkara ini berasaskan perancangan kita, kita dapat mengatasi dan memenuhi segala keperluan-keperluan air yang ada di dalam negara kita”, katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan bangunan dan dewan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Masai, hari ini.

Tambahnya, Kerajaan Negeri berperanan menentukan sumber air, cara rawatan air, dan pengagihan air dan telah mengemukan beberapa cadangan pembangunan kepada Kerajaan Pusat dalam Rancangan Malaysia yang ke-11.

“Kita tidak boleh membandingkan infrastruktur air di negeri kita dengan Singapura kerana perancangan yang mereka jalankan telah lama dilaksanakan sebelum merdeka. Singapura merancang begitu jauh untuk mendapat bekalan air negeri tersebut, proses pemindahan air adalah satu proses yang biasa seperti di China dan negara Arab”, jelasnya

Sebelum ini Kerajaan Negeri Johor telah merancang untuk meneroka sumber air mentah bawah tanah sebagai alternatif masa hadapan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap air di empangan sedia ada, selain meminta peruntukan RM180 juta daripada Kerajaan Pusat bagi melaksanakan projek pembinaan Empangan Meda untuk mengawal kemasukan air masin ke Sungai Muar.

Kajian Sumber Air Negeri Johor 2010-2060 yang dilancarkan pada November 2015 bertujuan untuk merancang kelestarian sumber air negeri pada 50 tahun akan datang selain menyediakan pelan yang jelas memandangkan faktor-faktor seperti pemanasan global, perubahan iklim dan penambahan populasi telah menyumbang kepada berlakunya ancaman terhadap sumber bekalan air.

Jauhar

Top