..."/>

Junjung Titah Agong: Semua Pihak Terutama Kerajaan Perlu Akur, Fahami Konteks Dimaksudkan – Mohd Hairi

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) dan Majlis Raja-Raja Melayu selepas mengadakan pertemuan dan mesyuarat khas di Istana Negara baru-baru ini.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata antara isi petikan titah YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu, tiga perkara utama yang ingin diutarakan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor adalah berkaitan keperluan mengadakan segera sidang Parlimen, ketidakstabilan suhu politik di tanah air dan tiada keperluan melanjutkan darurat.

“Soal menyegerakan Persidangan Parlimen, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor berpendapat semua pihak terutama barisan kerajaan perlu akur dan memahami konteks titah yang dimaksudkan Yang Di-Pertuan Agong, meskipun tiada tarikh yang ditetapkan.

“Jika keadaan membolehkan persidangan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat, tidak ada masalah ianya diteruskan dan dibuka dengan kawalan ketat SOP dan penjagaan kesihatan rapi di kawasan Parlimen atau DUN.

“Mengenai soal ketidakstabilan suhu politik negara, ini juga memberikan indikasi dan sudut pandang di mana Istana Negara serta Majlis Raja-Raja Melayu sendiri sedar dan nampak kepincangan politik yang berlaku hari ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah Hairi lagi, atas dasar itu sesuatu perlu dilakukan bagi menyelesaikan perkara ini dalam memastikan kestabilan politik terus terjaga dan kepentingan rakyat terus terbela sepanjang tempoh pasca pandemik ini.

“Tiada keperluan melanjutkan Darurat seperti dititahkan Majlis Raja-Raja Melayu. Jelas, keperluan Darurat yang hangat-hangat tahi ayam dilaksanakan ini tidak lagi relevan apabila sejak ia diumumkan Januari lalu, sehingga Jun ini kes masih berada pada tahap yang membimbangkan.

“Darurat ini bertujuan membolehkan kerajaan bertindak diluar dari kebiasaan. Apa guna Darurat dibuat sekiranya kerajaan tidak berani mengarahkan kilang besar ditutup? Tidak berani mengambil alih hospital pakar untuk membantu sistem kesihatan awam? Tidak mampu menggunakan kuasa dalam istilah Darurat,” katanya lagi.

Seterus kata Hairi lagi, darurat semata-mata untuk menggubal undang-undang menambah nilai kompaun, dan menjaga kelompok tertentu sahaja. Memang kena dan tepat pada waktunya titah Majlis Raja-Raja menyatakan tidak ada keperluan darurat ini diteruskan.

“Pada masa sama, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor ingin mengucapkan tahniah kepada kepimpinan Datuk Ir Hasni Mohammad yang sekali lagi berjiwa besar menerusi kenyataan beliau semalam yang bersedia untuk mengadakan Sidang DUN dengan segera seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.

“Diharapkan Negeri Johor dapat menjadi negeri pertama yang membuka semula dan mengadakan Persidangan DUN untuk semua wakil rakyat duduk dan bersama menyelesaikan isu yang semakin membelenggu rakyat kebanyakkan pada hari ini,” ujarnya. – UMNO Online

Top