..."/>

Johor Menolak Pusat Perjudian

NUSAJAYA 4 Jan : Kerajaan negeri Johor sehingga kini tidak menerima sebarang  permohonan, cadangan mahupun perancangan daripada mana-mana pihak untuk membuka pusat perjudian atau kasino.

Menteri Besar Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dakwaan kononnya pusat perjudian akan dibuka di sebuah hotel di bandar raya ini seperti yang tersebar di Internet merupakan satu penulisan yang nakal.

“Saya tidak tahu dari mana berita ini datang, alih-alih ia timbul dan setahu saya hendak buat kasino, lesennya dikawal oleh kerajaan pusat dan bukannya kerajaan negeri,” katanya selepas menghadiri program bantuan persekolahan anjuran Iskandar Investment Berhad di pasar raya Mydin di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri setakat ini tidak terfikir untuk menerima sebarang bentuk kewujudan tempat-tempat perjudian.

Katanya jika ada permohonan untuk membuka pusat berkenaan, kerajaan pusat dan kerajaan negeri akan memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing bagi melihat perkara berkenaan secara lebih mendalam.

Sementara itu Mohamed Khaled berkata Iskandar Malaysia akan lebih selektif dalam memilih pelabur namun sangat mengalu-alukan mereka yang ingin melabur di kawasan luar wilayah pembangunan itu.

Beliau berkata tumpuan Johor kini adalah bagaimana pelaburan yang masuk memberi impak kepada rakyat terutama dalam pembangunan ekonomi seperti peluang pekerjaan dan sebagainya.

“Jika ada pelabur yang ingin melabur di luar kawasan itu kita sedia menerima kerana ia dapat menyediakan peluang pekerjaan serta boleh membantu ekonomi kawasan setempat,” katanya. (Bernama)

Top