..."/>

Jangan Dipersoal… UMNO Telah Lama Rintis Perpaduan, Hentikan Segala ‘Clustering’ – Mohamad Hasan

UALA LUMPUR, 27 Mac – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa UMNO telah lama memperjuangkan orang Melayu malah iltizam UMNO terhadap kepentingan ummah tidak boleh sesekali dipersoalkan.

Ini kerana katanya, UMNO telah lama merintis kesepakatan bangsa Melayu, merentas parti dan ideologi dan semasa menentang Malayan Union.

“UMNO telah terlebih dahulu menggembleng pelbagai usaha mengumpul dana, sokongan dan bantuan orang Melayu, Cina dan India bagi merunding dan menuntut kemerdekaan.

“UMNO memeta, jalan perpaduan pelbagai pihak dan kaum, selepas berlakunya peristiwa 13 Mei dan memulihkan semula kestabilan politik di Malaysia.

“Setelah diisytiharkan haram pada 1988, UMNO terus berupaya menyatu padukan Malaysia dengan sokongan pelbagai parti komponen. Malah masih terus memimpin Kerajaan,” katanya yang berucap dalam perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Oleh itu katanya, UMNO ini tidak boleh terpecah-pecah dan hentikan segala ‘clustering’ yang sangat tidak menguntungkan.

“UMNO ini adalah jalan yang kita pilih dengan penuh sedar. Kita tidak dipaksa oleh sesiapa dan kita tidak memaksa sesiapa. Jadi, di tangan kitalah segala-galanya terletak. Cuma, bersedialah. Jalan kita di hadapan pasti berliku. Akan ada ranjau, akan ada yang menghalang dan mengacau.

“Kita jangan gentar. Tidak ada ikhtiar dan niat baik yang tewas pada kebatilan. Tidak ada usaha besar untuk bangsa dan agama yang berakhir dengan kegagalan.”

Dalam soal perpaduan ini, beliau turut mengimbas sewaktu peristiwa pemecatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1997 apabila ramai orang Melayu marah dan menunjuk perasaan dengan turun ke jalan, menggila dan berdemonstrasi.

“Namun, kerana matlamat yang jelas dan kerja keras, Alhamdulillah, UMNO terus menang dengan majoriti dua pertiga. Dan perkara itu berlaku kerana, UMNO mempunyai sokongan dan keyakinan pelbagai lapisan masyarakat untuk terus mengurus Malaysia.

“Jangan kita lupa, dalam segala perselisihan yang pernah wujud, UMNO tetap menerima kembali Semangat 46 ke pangkuan perpaduan bangsa, dan bila UMNO gagal membentuk Kerajaan 3 tahun lalu, UMNO menghulur tangan perpaduan kepada PAS sehingga terbentuknya Muafakat Nasional.

“Jadi, kepada pemimpin serpihan parti Melayu yang baru setahun jagung usianya, usahlah tuan-tuan berbicara tentang perpaduan ummah dengan UMNO. Bila tuan-tuan sendiri tidak punya sebarang rekod menyatu padukan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia.”

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar jangan mana-mana pihak berbicara tentang perpaduan ummah dengan UMNO, sekiranya mereka sendiri masih berentap.

“Mereka inilah yang sebenarnya anti perpaduan Melayu. Mereka tidak pernah memperjuangkan sebarang usaha perpaduan. Sehinggalah apabila nyawa mereka seperti telur di hujung tanduk, kelangsungan parti mereka menjadi begitu getir, baharulah mereka mula tergagap-gagap bercakap tentang perpaduan bangsa.

“Lebih menjelikkan, bila mereka yang meninggalkan PKR turut tidak malu mahu bercakap berkenaan perpaduan ummah. Sedangkan selama berpuluh-puluh tahun, perjuangan mereka tidak pernah sekali pun menjurus kepada kebaikan orang Melayu, apatah lagi perpaduan ummah.”

Maka, beliau menegaskan bahawa perpaduan bangsa Melayu, adalah cita-cita besar yang UMNO telah dan akan terus dukung dengan tegas dan setia.

“Ia tidak akan kami lacurkan dalam matlamat politik yang sempit. Ia tidak akan kami leburkan dalam perlumbaan kuasa yang tidak cerdik.

“Yang akan UMNO usahakan adalah, perpaduan seluruh bangsa Melayu. Yang berpolitik atau tidak, yang berparti atau tidak dan yang dalam kerajaan mahupun pembangkang. Semuanya akan kita pandang dan kita undang. Rukunnya hanya satu, iaitu Melayu/

“Semua ini mesti kita jayakan dengan hanya satu tujuan. Iaitu demi membangunkan kebingkasan orang Melayu. Dan bukan untuk menyelamatkan mana-mana individu atau perikatan politik tertentu. Pada UMNO, perpaduan Melayu bukan sekadar mengukuhkan kedudukan bangsa Melayu, tetapi juga perpaduan nasional.”

Dalam masa yang sama, beliau turut menyentuh berkaitan permasalahan politik yang Malaysia sedang lalui sekarang sebenarnya turut membuka ruang dan peluang keemasan kepada UMNO namun mesti bijak untuk memanfaatkannya.

“Rakyat telah menyaksikan kegagalan 22 bulan pemerintahan PH. Kini, rakyat sedang melihat pula ketidakcekapan dan kelembapan PN menguruskan negara.

“Walaupun UMNO adalah sebahagian dari Kerajaan PN, namun peranan UMNO sangat terpencil dan tidak dominan. Kita lebih duduk tunduk dari bangun menjadi induk. Ditambah pula dengan pendirian jelas, UMNO untuk tidak menyertai parti PN sejak awal dahulu.

“Sedar atau tidak, senario-senario ini sebenarnya memberikan UMNO kesempatan unik untuk mengetengahkan semula BN sebagai Kerajaan pilihan rakyat. Sama ada dalam kalangan Melayu mahupun bukan Melayu, malah prestasi BN sebagai Kerajaan selama 60 tahun adalah jauh lebih baik dan lebih berjaya kerana belum nampak sebarang petunjuk bahawa kerjasama politik seperti PH mahupun PN, mampu menterjemahkan formula BN yang kita laksanakan dulu.

Jadi, katanyam rakyat sebenarnya boleh diyakinkan, bahawa BN harus dikembalikan segera untuk memerintah demi kemakmuran Malaysia.

“Punca kegagalan mereka sebenarnya ialah, meminggirkan UMNO sebagai parti terbesar Melayu.

“Justeru, demi kestabilan politik di Malaysia, rakyat harus diyakinkan bahawa, tidak ada kerajaan yang akan stabil tanpa sokongan parti Melayu terbesar. Dan tidak ada parti Melayu yang mempunyai pengaruh dan kesederhanaan seperti UMNO.”

Dalam hal ini, beliau turut menegaskan juga bahawa UMNO melalui BN mesti menang dalam pilihan raya akan datang iaitu melibatkan beberapa perkara iaitu:

• Pertama, UMNO tidak boleh terkeliru tentang siapa musuh kita sebenarnya.

• Kedua, UMNO mesti menguruskan mereka yang berpura-pura mendukung UMNO tetapi jiwa mereka sebenarnya telah dibeli dengan murah sekali.

• Ketiga, UMNO mesti menegaskan kembali, bahawa sesiapa yang memusuhi orang Melayu dan Islam adalah musuh UMNO. – UMNO Online

Top