..."/>

Jalur Gemilang Lambang Pertiwi Tercinta

jalur gemilang

Oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Penulis ialah Menteri Besar Johor.

(Berikut adalah teks ucapan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Perasmian Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Johor 2015 di Stadium Mersing, Johor, 16 Ogos 2015)

MERSING, (Bernama) — Saban tahun kita melakukan perkara yang sama seperti yang kita lakukan hari ini. Iaitu mengajak seluruh rakyat Malaysia mengibarkan jalur gemilang. Sebagai satu cara meraikan sambutan Hari Kebangsaan.

Kepada sebahagian daripada kita, ini mungkin cara paling mudah untuk mempamerkan rasa bangga kita sebagai rakyat Malaysia. Rakyat sebuah negara yang bukan sekadar merdeka, tetapi berjaya dan membangun.

Kepada sebahagian lain, mengibar jalur gemilang adalah satu aksi partiotik. Penzahiran rasa betapa kasih dan cintanya kita kepada tanahair.

Dan kepada sebahagian lain lagi, ia mungkin tidak mengundang apa-apa rasa dan makna. Tidak lebih daripada kibaran kosong yang tidak ada fungsi, yang tidak membawa erti.

Melihat kibaran ribuan malah jutaan jalur gemilang, di seluruh pelosok negara, kepada mereka, hanya pemandangan biasa. Tidak langsung terbit apa jua perasaan. Hanya biasa-biasa sahaja.

Kerana itulah, pada hari ini, saya (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) ingin mengambil kesempatan untuk menyatakan sesuatu kepada mereka ini, yang hanya berasa biasa-biasa ini. Yang tiada rasa patriotik. Yang tiada rasa bangga.

Bahawa hati-hati mereka itu, harus diberi kesedaran. Harus disuntik rasa bangga. Harus dijentik rasa cinta kepada negara. Jangan biarkan ia mati, tanpa nilai, tanpa punya apa-apa getaran.

Kerana, jalur gemilang itu bukan hanya suatu kain yang dikibar-kibar kosong. Ia adalah simbol paling penting negara kita. Ia adalah ‘jiwa nurani’ Malaysia. Tanpanya, apalah makna kehidupan bernegara.

Tiada simbol lain yang sepenting, seutama dan sehebat Jalur Gemilang. Disebut sahaja nama negara Malaysia, yang pasti terlintas di fikiran semua, ialah bendera negara kita, Jalur Gemilang.

Malah sebutlah negara seperti Amerika, India, Indonesia. Simbol kepada semua negara ini adalah bendera kebangsaannya.

Biar 10 menara berkembar seperti Petronas boleh kita bina dan pamerkan. Biar 10 litar lumba Sepang boleh kita wujudkan.

Biar seluruh Kuala Lumpur itu boleh kita hiasi dengan pelbagai lampu dan bunga-bunga indah. Laksana kota-kota di syurga.

Namun, pasti tidak sama nilainya dengan selembar Jalur Gemilang. Tidak akan sama rasa gemuruhnya perasaan, bila kita melihat ia dinaikkan, seiring dengan lagu kebangsaan.

Saat Jalur Gemilang naik ke hujung tiang bendera, rasa bangga dan cinta kepada Malaysia naik ke hujung ubun-ubun kita. Melihat megahnya ia berkibar, segak, kemas dan gagah.

JALUR GEMILANG LEBIH DARIPADA SIMBOL KEDAULATAN

Bendera kebangsaan mempunyai kepentingan yang tidak terungkap dengan kata-kata.

Kalau kita tengok dalam filem-filem barat, lanun pun ada bendera tuan-tuan. Bendera hitam dengan tengkorak putih. Itu lambang dan identiti mereka. Itu jadi kebanggaan mereka. Malah itulah yang menjadi motivasi dan pembakar semangat mereka.

Apatah lagi kita ini. Bangsa merdeka, bangsa berdaulat dan bangsa yang bernegara. Jalur Gemilang itulah simbol negara kita. Simbol, sekelompok manusia yang diikat atas tatasusila bangsa dan kenegaraan yang sama.

Malah, inilah simbol kedaulatan yang bersifat fizikal. Yang boleh kita pandang dan pegang. Bila-bila masa, di mana-mana sahaja.

Benar Parlimen itu, atau Putrajaya itu, adalah sebahagian daripada lambang kedaulatan kita, sebagai sebuah negara merdeka. Tapi institusi itu semua, tidak sama kesan dan getarannya dengan memiliki dan mengibar Jalur Gemilang.

Bila negara meraikan kejayaan besar, menawan puncak tertinggi dunia, meneroka ruang angkasa, mencipta sejarah dalam bidang pendidikan, atau sains dan teknologi, maka Jalur Gemilanglah yang kita usung dan kibarkan dengan megah.

Bila pemimpin kita melawat sebuah negara lain, Jalur Gemilanglah yang akan dikibarkan di seluruh bandaraya yang dilawati. Sebagai gambaran rasa hormat negara tersebut menyambut pemimpin kita.

Bila negara ditimpa musibah, dilanda bencana dan kedukaan, Jalur Gemilanglah yang kita kibarkan separuh tiang, sebagai tanda bangsa dan negara berdukacita.

Dan di kala gugur dan kembalinya pahlawan, satria, negarawan dan ‘bapa’ bangsa, Jalur Gemilanglah membaluti kerandanya.

Dan sebagai penghargaan paling tinggi dari negara dan bangsa, Jalur Gemilang yang membaluti keranda itulah yang akan dihadiahkan kepada keluarga mereka.

Sebagai mengenang jasa, sebagai tanda bangsa berterima kasih, yang tidak terhingga.

Maka kerana itu, perhimpunan kita hari ini, perlu menyemarakkan perasaan sebegini. Bahawa kita bukan mengibarnya kerana kita sekadar meraikan pesta hari kebangsaan.

Kita mengibarkannya, di seluruh pelosok tanahair, di mana jua, kerana kita ingin mengajak semua rakyat Malaysia mengenang tanahair.

Mengenang pendiri bangsa. Mengenang kejayaan kita selama enam dekad. Mengenang perjalanan luar biasa Malaysia. Mengenang betapa beruntungnya kita, hidup dalam Malaysia yang sangat sejahtera.

PADANYA, SARAT MAKSUD TERSIRAT

Pada lakaran Jalur Gemilang, terdapat beberapa maksud yang mesti kita sematkan dalam hati. Kerana ramai sekali yang tidak pernah memberi perhatian kepada lakarannya.

Ini kerana bila kita melihatnya setiap hari, dari seawal usia kita, ia boleh menjadi suatu kebiasaan atau kelaziman. Lalu kita tidak mengambil pusing akan apa maksud bagi setiap yang terlukis di bendera kebangsaan kita.

Biar saya ambil kesempatan ini untuk memberi peringatan tentang maksud sebenar lakaran di Jalur Gemilang.

Agar kita tahu cerita di sebaliknya. Agar kita tahu bahawa ia bukan sekadar kain biasa yang dicorakkan dengan warna-warna tertentu. Agar kita akan semakin menghormati dan memuliakan simbol paling penting negara kita.

Lihat 14 jalurnya. Ia bukan sekadar mewakili Malaysia ini sebagai sebuah persekutuan dengan 14 negeri termasuk Wilayah Persekutuan.

Itu jawapan simplistik, jawapan yang hanya sekadar memberi jawapan.

Tetapi 14 jalur itu, sebenarnya menggambarkan kesepaduan kita sebagai sebuah persekutuan. Kita memilih untuk bersatu dalam satu negara. Membentuk sebuah persekutuan.

Malaysia bukan ‘unitary state’. Malaysia adalah sebuah federalisme. Setiap negeri ada hak. Ada kedudukan yang istimewa. Ada keunikan masing-masing. Maka kerana itu, kita bukan menyertai Persekutuan. Kita membentuk Persekutuan. Dan ini harus kita semat dalam hati. Tanam rapat-rapat, ingat sampai bila-bila.

Kedua, lakaran bintang pecah berbucu 14.

Ia melambangkan kehidupan kita berbangsa. 14 negeri yang berbeza masyarakatnya. 14 wilayah yang pelbagai dimensi warisan dan budayanya. 14 bahagian Malaysia yang berlainan citra dan tradisi setempat.

Tetapi terpadu sebagai sebuah bangsa. Terpadu sebagai sebuah masyarakat. Dan dalam segala kemajmukan itulah, kita hidup saling mendukung, membina Malaysia yang merdeka.

Semua orang punya hak. Semua orang punya peluang. Semua orang adalah warnaganegara yang boleh bernaung di bawah langit bernama Malaysia.

Ketiga, bulan sabit berwarna kuning melambangkan Islam dan syiarnya.

Ia menjadi pedoman paling disantuni oleh Malaysia dan rakyatnya. Bahawa Islam itu bukan sekadar agama, tetapi syiarnya menjadi ilham dan inspirasi kehidupan bernegara.

Dan jika kita lihat lakaran bulan sabit dan bintang pecah serta skim warna biru dan merah yang ada. Ia semacam ada persamaan dengan bendera negeri Johor.

Ini bukan kebetulan. Ini kerana bendera yang kita namakan Jalur Gemilang sekarang ini, telah diilhamkan dan direka oleh seorang anak Johor. Namanya Mohammad bin Hamzah, seorang arkitek di Jabatan Kerjaraya Johor.

Lihatlah pengaruh Johor. Di Johorlah terdirinya negeri Melayu moden yang pertama. Di Johorlah gerakan kemerdekaan dimulakan. Di Johorlah penubuhan parti politik Melayu yang pertama tercetus sebelum merebak ke seluruh negara. Menjadi satu gelombang kebangkitan yang besar dan bermakna.

Dan, sejarah menunjukkan, anak Johor jugalah yang mengilhamkan simbol paling penting bangsa, iaitu Jalur Gemilang.

BENDERA DIPERTAHAN HINGGA KE TITISAN DARAH TERAKHIR

Dalam sirah perjuangan Islam, terdapat banyak kisah tentang betapa bendera atau panji menjadi sesuatu yang amat besar dan bermakna.

Lebih-lebih ketika dalam peperangan dan jihad. Jatuh atau berkibarnya sesuatu panji akan menandakan kalah menangnya sesuatu pihak. Malah menjadi simbol moral dan semangat sekalian mujahid yang berjuang.

Sahabat Nabi, Jaafar bin Abi Thalib dalam Perang Mu’tah yang terputus kedua-dua belah tangannya, masih berusaha untuk memastikan panji tentera Islam tidak jatuh ke tanah dengan menggigitnya.

Walaupun selepas menerima 13 sasaran anak panah dan enam tikaman pedang daripada pihak musuh, beliau akhirnya gugur syahid. Namun panji tentera Islam disambar pantas oleh rakan seperjuangan. Tidak sempat jatuh ke bumi.

Riwayat yang sama tentang Mus’ab ibn Umair dalam Perang Uhud. Kedua-dua tangannya dipotong dan dadanya ditusuk kuat agar bendera atau panji Islam yang dipegang jatuh dan dipijak.

Benar, akhirnya jasadnya rebah. Namun, sekali lagi panji yang dipegangnya disambar dan dijulang tinggi rakan seperjuangan. Tidak sempat terjatuh, tidak sempat dipijak.

PATRIOTISME TIADA GALANG GANTINYA

Mungkin ada yang bertanya. Mengapa kita selalu dan terlalu menekankan tentang kepentingan bendera. Jawapan saya mudah. Inilah lambang patriotisme, kepada bangsa, pada agama dan negara.

Tuan-tuan bayangkan apa akan berlaku kepada negara ini, pada kita semua, pada agama dan budaya kita, kalau tidak adanya patriotisme.

Kerana patriotisme lah negara ini merdeka. Kerana patriotisme lah ratusan ribu parajurit kita setia dan bersedia mengorban nyawa.

Demi semata-mata memagar negara ini. Baik di sempadan, baik di lautan, baik di ruang udara. Hanya ingin memastikan negara ini tidak diceroboh, tidak diancam musuh.

Dan kita semua, sebagai mereka yang tidak perlu bersabung nyawa di perbatasan, tidak bermakna kita terlepas dari menzahirkan patriotisme ini.

Kita juga ada amanah kita tersendiri, kita ada tanggungjawab dan tugas kita tersendiri.

Memajukan negara, mendidik anak bangsa, melakukan yang terbaik dalam pekerjaan, menjaga keluarga, menyumbang kepada masyarakat, membantu negeri menjadi lebih baik, mengelakkan anasir perkauman, menjaga alam sekitar, kesemua ini adalah cerminan patriotisme. Dan kita harus melakukannya.

Jika tidak, negara tidak akan maju, negeri tidak akan bersatu, masyarakat akan huru hara, masa hadapan akan gelap. Jadi, merdeka itu hanya akan pada nama. Akan hanya tinggal tanda. Tapi tidak pada jiwa dan maknanya.

Jadi, mengapa kita hari ini segan silu untuk mengibarkan Jalur Gemilang. Sedangkan jalur merah putih biru kuning inilah yang menjadi tanda sebuah negara merdeka dan berdaulat.

Marilah kita mengibarkan Jalur Gemilang ini dengan rasa bangsa, dengan rasa cinta. Pada negara ini, ibu pertiwi ini, tanahair ini.

Inilah rumah kita semua. Rumah kita sampai bila-bila.

— BERNAMA

Top