..."/>

Isu tahanan Rohingya: Segera lakukan siasatan komprehensif

Kerajaan mesti segera melakukan siasatan komprehensif dan telus serta mengumumkan dapatan siasatan berkenaan insiden ratusan tahanan Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Pulau Pinang kepada awam.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, insiden melarikan diri, protes dan rusuhan di pusat tahan imigrasi bukan sesuatu yang baru dan terus berulang kerana mungkin berpunca daripada beberapa masalah di depot tahanan.

Jelasnya, ia seperti kesesakan di dalam blok tahanan, tempoh tahanan yang lama dan terhadnya kemampuan sumber kerajaan dalam pengurusan pusat sedemikian.

“Penahanan berterusan dan lama tanpa kejelasan tentang kesudahan terhadap nasib dan masa depan mereka adalah pelanggaran hak asasi manusia.

“Ia juga adalah pembaziran kepada wang rakyat apabila semua ini melibatkan pembiayaan kerajaan sepenuhnya,” katanya menerusi posting  di Facebook.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai anggota Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2022 hingga 2024, Malaysia mesti menunjukkan iltizam untuk mengurus dasar-dasar berkaitan pelarian dengan lebih telus, bertanggungjawab dan bersandar keselamatan insan.

Jelasnya, tahanan baru mesti segera didaftarkan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).

“Mereka yang telah berdaftar dan mempunyai kad, mestilah segera dibebaskan. Tanpa perlu mengimport jutaan pekerja tidak berkemahiran melalui pelbagai memorandum persefahaman (MoU) yang merumitkan, kumpulan pelarian ini boleh kita benarkan untuk bekerja.

“Ini akan membantu mereka membangun kemahiran, membiayai kehidupan sendiri dan mengurangkan beban kerajaan,” ujarnya.

Tambah beliau, kerjasama erat dengan UNHCR mesti dipertingkatkan agar pelarian tersebut boleh segera dipindahkan dan memulakan kehidupan baharu di negara yang menerima.

“Ramadan yang kareem dan mubarak ini harus menjelmakan ihsan dan kemanusiaan kita kepada mereka yang mencari perlindungan di negara ini tanpa berkompromi dengan kepentingan keselamatan nasional,” katanya.

Top