..."/>

Ismail Sabri sebagai calon PM bukan helah – Ahmad Maslan

Dakwaan Parti Amanah bahawa UMNO menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai helah untuk mempercepatkan PRU15 adalah tidak benar.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata UMNO tiada helah tersembunyi, dan setiap parti berhak untuk menamakan mana-mana calon atau pemimpin mereka sebagai Perdana Menteri masing-masing.

“Itu adalah hak kita (untuk menamakan dia), bukan helah atau apa ke, (PRU15) bila-bila masa yang didapati sesuai oleh perdana menteri dapat diadakan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada media baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abd Samad baru-baru ini yang menganggap keputusan UMNO itu sebagai helah bagi menggesa Ismail Sabri menyegerakan pembubaran parlimen untuk diadakan pilihan raya.

Beliau turut menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa UMNO akan menamakan calon lain sebagai perdana menteri setelah menang PRU15, seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini yang menyaksikan pelantikan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

Terdahulu Ahmad Maslan mengumumkan bahawa Majlis Tertinggi (MT) UMNO baru-baru ini melantik Onn Hafiz sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi manakala dua Ahli MT UMNO yang lain iaitu Datuk Seri Razali Ibrahim pula dilantik sebagai Penyelaras Alumni UMNO Siswa dan Siswi dan Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin sebagai Penyelaras Pertubuhan Alumni Kelab-kelab UMNO Luar Negara.

Top