..."/>

Ismail Sabri Galas Tanggungjawab Berat, Pada Waktu Yang Sangat Luar Biasa – Mohamad

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, Naib Presiden UMNO itu akan memulakan tugas dengan tanggungjawab yang sangat berat dan mencabar dalam waktu yang sangat luar biasa.

“Insya-Allah seluruh kepimpinan parti akan membantu dan mendukung dengan sebaiknya kepimpinan beliau.

“Selamat memulakan tugas Perdana Menteri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Semalam, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan melantik Ismail sebagai Perdana Menteri Malaysia Kesembilan.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perlantikan tersebut selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ismail Sabri, 61, yang sebelum ini Timbalan Perdana Menteri dilantik ke jawatan itu berikutan Perdana Menteri Kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan pada Isnin, 16 Ogos, setelah kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat. – UMNO Online

Top