..."/>

Darurat Dibatalkan Lima Hari Lepas?… Mengapa Tiada Pengumuman? – Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan mempersoalkan mengapa tiada langsung pengumuman sebelum ini berkaitan Ordinan Darurat.

Beliau berkata demikian berikutan dalam persidangan Parlimen yang sedang berlangsung hari ini dimaklumkan bahawa enam Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai.

Mengapa tiada langsung pengumuman sebelum ini? Benar, Parlimen merupakan medan terbaik untuk membahaskan isu-isu dasar berkepentingan negara tetapi untuk suatu keputusan besar seperti pembatalan darurat, mengapa tiada pemakluman awal kepada umum?

“Bermakna, selama lima hari rakyat tidak diberitahu undang-undang dan sistem apa yang beroperasi dalam negara. Bagaimana kesahihan segala tindakan selama lima hari ini baik kompaun, denda dan lain-lain perihal pentadbiran negara yang berlandaskan andaian bahawa undang-undang darurat masih terpakai?” soalnya dalam kenyataan melalui laman facebooknya, hari ini.

Tegasnya yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, dalam perbahasan tadi disebut bahawa Perlembagaan memperuntukkan bahawa sebarang Ordinan Darurat mesti dibentang kepada Parlimen, melainkan ia dibatalkan lebih awal.

“Adakah mengelak prosedur perbahasan ini menjadi sebab pembatalan dibuat awal? Sedangkan semalam kenyataan rasmi UMNO jelas mahu membahas dan membatalkan Ordinan Darurat.

“Apapun, suatu penjelasan tuntas mesti dibuat segera bagi mengelak kekeliruan. Dalam Dewan tadi pun, masih wujud kekeliruan apakah status darurat. Adakah proklamasi kekal sehingga 1 Ogos tetapi ordinannya sahaja yang batal?

“Bilakah keputusan pembatalan ini dibuat? Adakah telah diperkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong?”

Katanya, di sebalik semua kekeliruan ini, suatu yang jelas ialah sepertimana beberapa keputusan besar sebelum ini misalnya untuk melaksanakan persidangan Parlimen kali ini pun, setelah didesak berkali-kali oleh pelbagai pihak termasuk UMNO, barulah sesuatu tindakan diambil dan seakan tergesa-gesa. – UMNO Online

Top