..."/>

Buktikan Pencapaian Dalam Tempoh 100 Hari, Pesan PM Kepada Anggota Kabinetnya

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan para Menteri Kabinet bahawa setiap kementerian perlu buktikan pencapaian dalam tempoh 100 hari.

Tegasnya, tindakan pantas dan bersepadu merupakan aspek utama bagi membebaskan Malaysia daripada ancaman wabak penyakit, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik yang telah dilalui oleh rakyat sebelum ini.

“Segala bantuan yang telah diumumkan mesti disegerakan dan saya akan memastikan Kabinet ini berasaskan keberhasilan yang mengutamakan kestabilan dan keselamatan Keluarga Malaysia,” kata Naib Presiden UMNO dan juga Ahli Parlimen Bera itu dalam satu hantaran di Facebook.

Pagi tadi, Ismail Sabri telah mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama menerusi sidang video dari kediamannya setelah dinasihatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani kuarantin kendiri.

Jelasnya lagi, antara penekanan utama yang digariskannya adalah perbincangan status terkini jangkitan COVID-19 di negara ini untuk semua kementerian bergerak proaktif bagi pengukuhan tindakan tahap kesihatan demi melonjakkan semula aktiviti ekonomi yang memberi manfaat utama kepada rakyat.

Terdahulu, dilaporkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Ismail Sabri untuk mesyuarat pra-Kabinet yang pertama menerusi sidang video di Istana Negara.

Istana Negara dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook memaklumkan Mesyuarat pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.

Manakala Isnin lalu seramai 30 daripada 31 Menteri dan 37 daripada 38 Timbalan Menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini.

Mereka diumum menganggotai saf pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Ismail Sabri Jumaat lepas. – UMNO ONLINE

Top