Berundurlah Muhyiddin, Mana Nak Letak Muka… ‘New Deal’ Ditolak Mentah-mentah – Dr Puad

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyindir Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di mana hendak letak muka kerana tidak sampai 24 jam, ‘new deal’ (tawaran baharu) beliau ditolak mentah-mentah oleh semua parti politik pembangkang termasuk UMNO.

Katanya, ini jelas menunjukkan Ahli Parlimen Pagoh itu tidak lagi dipercayai apatah lagi tawaran itu dibuat ketika beliau disahkan oleh Speaker Dewan Rakyat sudah hilang majoriti.

“Menerima tawaran baru itu bermakna UMNO dan pembangkang menyelamatkan kerajaan yang melanggar Perlembagaan, gagal dan engkar titah YDP (Yang di-Pertuan) Agong,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah Dr Puad, setakat ini hanya Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dari Dap nampak setuju dengan tawaran dari Muhyiddin kerana takut UMNO kembali berkuasa.

“Semasa PH (Pakatan Harapan) berkuasa dia dituduh guna LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) untuk menganiayai ramai pemimpin UMNO. Dia takut bayang-bayang sendiri.

“Di bawah PN (Perikatan Nasional) dia selamat,” katanya.

Justeru ujar Dr Puad, Muhyiddin perlu mengalah kerana semua jalan sudah tertutup untuk beliau.

“Dia ditolak sebelum PRU (pilihan raya umum) bukan kerana fitnah dan tuduhan retorik seperti kleptokrasi. Dia memang GAGAL,” tegasnya.

Muhyiddin, di dalam Perutusan Khasnya petang semalam telah membuat pelbagai janji bagi menyelamatkan kerusinya yang kini telah hilang majoriti antaranya seperti kerajaan PN akan berunding dengan pimpinan parti-parti di luar PN bagi luluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang akan diberi saraan, kemudahan setara Menteri Kanan dan rangka persefahaman rentas parti. – UMNO ONLINE

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top