..."/>

BELIA, OKU ANTARA PENERIMA MANFAAT INSIATIF BAHARU RMMJ

JOHOR BAHRU, 11 Nov – Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin hari ini mengumumkan inisiatif baharu dalam sistem pengagihan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

Pengumuman tersebut merupakan sebahagian inisiatif yang bakal dibentangkan dalam Bajet Johor 2017, pada 17 Nov ini.

Beliau berkata, selain daripada pengagihan kuota mengikut kaum, golongan belia dan orang kelainan upaya (OKU) merupakan antara golongan yang bakal menerima manfaat daripada pembaharuan dalam sistem pengagihan tersebut.

“Kedua-dua golongan tersebut masing-masing akan menerima kuota sebanyak sepuluh peratus.

“Inisiatif tersebut adalah bagi memberi peluang kepada mereka untuk sama-sama merasai manfaat yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri terutamanya dalam keupayaan membeli dan memiliki rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Johor di Sri Plentong, petang tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Abdul Latif Bandi; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mayland Project Sdn Bhd, Adam Liau.

Mohamed Khaled turut menyatakan hasrat dan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menjayakan agenda perumahan demi kesejahteraan rakyat.

“Pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri mensasarkan pembinaan 7,000 unit RMMJ di seluruh negeri Johor bagi mencapai sasaran pembinaan 60,000 unit menjelang 2019-2020.

“Selain itu sasaran juga diletakkan kepada pembinaan lebih 50,000 unit lagi pada tahun 2019-2023,” katanya.

Pada majlis tersebut, beliau amat mengalu-alukan penglibatan para pemaju hartanah swasta untuk bersama-sama Kerajaan Negeri bagi tujuan tersebut.

“Selain daripada mendukung dasar kerajaan, komitmen mereka juga dapat mewujudkan keseimbangan dalam masyarakat walaupun berdepan dengan keadaan ekonomi yang sangat mencabar.

Pembangunan RMMJ di Sri Plentong itu dimajukan oleh anak syarikat Kumpulan Mayland iaitu Mayland Project Sdn Bhd.

Ia bakal menyaksikan pembinaan sebanyak 66 unit RMMJ berukuran 750 kaki persegi yang akan dijual pada harga RM50,000 seunit dan dijangka siap pada pertengahn tahun hadapan.

Turut dibina dua unit rumah kedai mampu milik berukuran 1,000 kaki persegi yang akan dijual pada harga RM150,000.

Kawasan itu juga akan dilengkapi kemudahan surau berkapasiti 100 orang dan taman permainan. JAUHAR

Top