..."/>

Bekalan air berjadual: Penduduk terlibat dinasihat berhemah guna air

JOHOR BAHRU- Orang ramai khususnya yang mendapat bekalan air dari loji rawatan air Sultan Iskandar di Masai serta loji rawatan air Sg Lebam di Kota Tinggi dinasihatkan supaya menggunakan bekalan air secara bijak dan berhemah berikutan langkah SAJ Holdings (SAJ) melaksanakan bekalan air berjadual yang bermula 16 Ogos ini.Penduduk yang terlibat adalah di sebahagian kawasan Johor Bahru, Pasir Gudang,Masai serta Mukim Tg Surat, Mukim Pengerang dan Mukim Pantai Timur dekat Kota Tinggi.

Bekalan air berjadual tersebut merupakan satu langkah yang diambil setelah mendapati paras air di empangan Sg Layang merosot ke 19.10 meter pada hari ini iaitu telah melepasi paras kritikal 23.50 meter manakala empangan Sg Lebam pula turut mengalami kemerosotan pada paras air mentah secara berterusan dengan paras terkini 9.63 meter berbanding paras normal 14.00 meter. Bekalan air berjadual bertujuan memanjangkan tempoh penyimpanan air di empangan berkenaan. Situasi semasa di kedua empangan berkenaan menyebabkan loji rawatan air Sultan Iskandar dan loji rawatan air Sg Lebam yang dikendalikan oleh pihak SAJ itu hanya mampu beroperasi pada pengeluaran yang paling minima.
Berikutan itu, bagi mengagihkan bekalan air bersih yang terhad kepada semua,kawasan yang terlibat dibahagi kepada beberapa zon seperti tertera pada jadual bekalan air yang bakal diedarkan kepada pengguna terlibat. Bekalan air berjadual ini akan bermula pada 16 Ogos ini dan akan berakhir pada 15 September 2015.
Sebagai makluman juga, bekalan air secara berjadual ini dengan sendirinya terbatal sekiranya paras air di empangan menunjukkan peningkatan sekaligus membolehkan loji beroperasi pada kapasiti pengeluaran biasa dan seterusnya pengguna mula mendapat bekalan air sewajarnya. Tetapi, sekiranya keadaan bertambah kritikal, jadual lain akan dikeluarkan bersesuaian dengan keadaan semasa pengeluaran loji.
Empangan Sg Layang merupakan sumber air yang menyalurkan air untuk dirawat di Loji Air Sultan Iskandar sebelum diagih kepada kira-kira 115,000 akaun bekalan air di sebahagian Johor Bahru, Masai dan Pasir Gudang. Manakala empangan Sg Lebam merupakan sumber air mentah utama bagi loji rawatan air Sg Lebam khusus untuk 13, 299 pemegang akaun di Mukim Tg Surat, Mukim Pantai Timur dan Mukim Pengerang di sebahagian kawasan Kota Tinggi.
Muka sauk di ke dua-dua empangan dilaporkan mengalami penurunan paras air mentah sejak fenomena cuaca kering yang melanda negara sejak awal tahun. Walaupun hujan dilaporkan berlaku di beberapa kawasan sejak akhir-akhir ini namun situasi ini tidak membantu menaikkan paras air di kedua-dua empangan terbabit. Walau bagaimanapun, pihak SAJ bersama-sama dengan beberapa jabatan berkenaan juga sedang memantau
secara terperinci keadaan paras air di empangan-empangan dan muka sauk yang lain demi memastikan tindakan awal dapat dilaksanakan bagi meminimakan gangguan bekalan air dan pengguna mendapat bekalan air bersih sewajarnya.

Kenyataan rasmi ini turut menafikan hebahan tidak rasmi yang dikesan melalui saluran aplikasi media sosial yang mula diterima sejak minggu lalu oleh penduduk sekitar. Pengguna yang memerlukan maklumat lanjut berkaitan bekalan air setempat boleh terus menghubungi SAJ Info Center menerusi Talian Mesra 1 800 88 7474 atau SMS 019 772 7474 atau menerusi e-mail customer.care@saj.com.my yang beroperasi 24 jam
dan sila rujuk kawasan terperinci berkenaan di laman web SAJ serta di laman sosial Facebook “Setitis YANG Bermakna”.
Top